SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan mengalami perubahan drastik dalam masa tiga tahun dengan pelaksanaan beberapa usaha termasuk menaik taraf sistem penggerak penumpang automasi atau aerotrain dan sistem pengendalian bagasi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata usaha itu dijangka mampu mengembalikan kedudukan KLIA Terminal 1 sebagai lapangan terbang terbaik di dunia, yang kini berada di tangga ke-67 berbanding ke-62 pada 2022.

Kedudukan terbaik yang pernah dicapai oleh KLIA Terminal 1 adalah di tangga kedua pada 2001, sebelum merosot ke kedudukan ke-14 pada 2013 dan ke-44 pada 2018.

"Kita melihat kedudukan semakin merosot itu merupakan satu kebimbangan kerana hilang daya tarikan di KLIA Terminal 1.

"Kita perlu kembalikan kedudukan KLIA Terminal 1 kerana ia merupakan lapangan terbang penting untuk negara dan melambangkan imej negara," kata Loke kepada media selepas melancarkan penginapan CapsuleTransit di KLIA Terminal 1, di sini hari ini.

Loke berkata mutu perkhidmatan serta ekosistem termasuk mesra kepada sektor peruncitan untuk melabur dalam pelbagai kemudahan dan perkhidmatan, perlu bergerak seiring untuk menjadikan KLIA Terminal 1 hebat semula di dunia.

Sementara itu, Loke berkata pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) yang berusia 58 tahun tidak akan menggantikan KLIA Terminal 1 sebagai lapangan terbang utama negara.

"Pembangunan semula SAAS tidak akan menggantikan KLIA Terminal 1," katanya, menambah bahawa SAAS akan menjadi lapangan terbang bandar kepada pasaran khusus.

-- BERNAMA