[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Perumahan terbengkalai lebih 10 tahun berjaya diselesaikan - MB Johor

Bernama 01/06/2025 | 08:45 MYT
Onn Hafiz pada majlis penyerahan SLMR kepada pembeli projek melibatkan pembinaan 47 unit rumah mampu milik dengan harga bermula serendah RM42,000 seunit. -Facebook
JOHOR BAHRU: Penantian pembeli projek perumahan yang terbengkalai lebih 10 tahun di Taman Permata Layang, Simpang Renggam, Johor, untuk memiliki kediaman sendiri kini berakhir selepas mereka menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), semalam.


Ringkasan AI
  • Pembeli projek perumahan terbengkalai lebih 10 tahun di Taman Permata Layang, Simpang Renggam, Johor, akhirnya menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), melibatkan 47 unit rumah mampu milik bermula RM42,000 seunit.
  • Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan projek ini dekat di hatinya dan memerlukan usaha berterusan serta kerjasama pelbagai agensi untuk diselesaikan.
  • Kerajaan negeri komited menangani projek sakit dan terbengkalai di Johor, dengan harapan penyelesaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan serupa di masa depan.


Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau sendiri berpeluang menyampaikan SLMR kepada pembeli projek berkenaan yang melibatkan pembinaan 47 unit rumah mampu milik dengan harga bermula serendah RM42,000 seunit.

"Secara peribadi, projek ini sangat dekat di hati saya kerana ia berada dalam kawasan saya sendiri, di Simpang Renggam dan telah saya perjuangkan sejak mula menjadi wakil rakyat.

"Proses untuk menyelesaikannya bukan mudah, ia memerlukan pelbagai intervensi, turun padang, pengurusan terperinci dan kerjasama erat antara pelbagai agensi," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berharap supaya usaha itu menjadi titik tolak kepada lebih banyak penyelesaian projek terbengkalai di Johor.

Kerajaan negeri juga komited untuk menangani setiap projek sakit dan terbengkalai bagi memastikan isu itu tidak berulang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta semua pihak yang terlibat, termasuk Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pejabat Daerah Kluang, dan Majlis Daerah Simpang Renggam.

-- BERNAMA



#onn hafiz ghazi #Menteri Besar Johor #projek perumahan terbengkalai #Taman Permata Layang Simpang Renggam #Sijil Layak Memiliki Rumah