NATIONAL
Perunding dagangan emas didakwa terima deposit lebih RM1 juta tanpa lesen sah

Peguam Benedict Choong yang mewakili Ong memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya seorang yang bankrap selain tiada risiko melarikan diri serta menanggung ibunya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang perunding perdagangan emas dan pertukaran wang asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit berjumlah RM1.18 juta tanpa lesen sah bagi tujuan pelaburan, tiga tahun lepas.
Abel Ong Jun Wen, 31, didakwa menerima deposit berjumlah RM1.18 juta daripada perunding kewangan, Tan Wai Mei, 40, tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di sebuah rumah di Taman Sentul Bahagia, Sentul di sini antara 17 Okt 2022 dan 15 Mac 2023.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Redzuan menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.Peguam Benedict Choong yang mewakili Ong memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya seorang yang bankrap selain tiada risiko melarikan diri serta menanggung ibunya.
"Anak guam saya kini bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran dengan pendapatan RM2,000 hingga RM3,000. Dia juga tidak boleh keluar dari sempadan negara kita kerana sudah bankrap.
"Dia juga tidak mempunyai pasport dan sekiranya diizinkan oleh mahkamah, saya merayu agar syarat tambahan untuk anak guam saya melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan," kata peguam itu.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami