NATIONAL

Perunding hartanah, keluarga gagal semak semula keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pelucutan hak aset

Bernama 26/03/2025 | 10:30 MYT
Panel tiga hakim sebulat suara menolak permohonan semakan semula yang dibawa oleh Amir Shariffuddin, keluarganya dan sebuah syarikat lain. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub dan keluarganya hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini berhubung pelucutan hak aset bernilai RM3.2 juta.


Ringkasan AI
  • Amir Shariffuddin Abd Raub dan keluarganya gagal dalam permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pelucutan hak aset bernilai RM3.2 juta.
  • Panel tiga hakim menolak permohonan semakan kerana ia tidak memenuhi syarat luar biasa seperti pelanggaran peraturan keadilan semula jadi.
  • Mahkamah Rayuan mengekalkan pelucutan hak aset daripada beberapa individu dan syarikat, termasuk Amir Shariffuddin dan bekas anggota exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Hashim Hamzah, Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menolak permohonan semakan semula yang dibawa oleh pemohon - Amir Shariffuddin, keluarganya dan sebuah syarikat JLA Motorsport Sdn Bhd.

Dalam menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Hashim berkata permohonan semakan hanya boleh dibuat dalam keadaan luar biasa, seperti pelanggaran peraturan keadilan semula jadi atau kegagalan kuorum dalam panel Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Beliau berkata pemohon dalam kes ini tidak boleh memohon semakan berdasarkan merit rayuan, kerana ia telah diputuskan secara muktamad oleh panel Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 17 Julai 2024, panel Mahkamah Rayuan mengekalkan pelucutan hak aset bernilai lebih RM3.2 juta termasuk kereta, barang kemas, beg tangan, jam tangan, dan mata wang asing dan tempatan daripada beberapa individu dan syarikat, termasuk pemohon.

Individu lain yang terlibat ialah bekas anggota exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi, anaknya Mohd Fauzan Hatim dan menantu perempuan, serta dua syarikat - Wash N Chill Enterprise, Alaf Pentawaris Sdn Bhd.

Mereka pada mulanya memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Julai 2024, tetapi kemudiannya menarik balik permohonan itu.

Pada 27 Mei 2019, Mahkamah Sesyen telah menolak permohonan rampasan pihak pendakwaan, dan memerintahkan harta yang dirampas dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan itu pada 19 Dis 2021.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan aset terbabit diperoleh daripada hasil haram, sekali gus memerintahkan pelucutan hak aset milik individu dan syarikat berkenaan.

Abdul Latif, anaknya dan Amir Shariffudin dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di Johor pada 2022 atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Pada 2023 Mahkamah Tinggi mengekalkan pembebasan mereka.

Pihak pendakwaan menarik balik rayuannya terhadap pembebasan Abdul Latif tetapi meneruskan prosiding terhadap Mohd Fauzan dan Amir Shariffudin.

Pihak pendakwaan kemudiannya menerima representasi Mohd Fauzan untuk pihak pendakwaan menarik balik rayuan itu.

Dalam prosiding hari ini, peguam Abd Rahim Ali mewakili pemohon manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Muhammad Asraf Mohamed dan Zander Lim Wai Keong di pihak pendakwaan.

-- BERNAMA



#perunding hartanah #amir shariffuddin abd raub #rayuan ditolak #pelucutan hak aset