Perunding perkahwinan hilang punca mata pencarian sepanjang PKP

Fareez Azman
April 8, 2020 13:05 MYT
Pemilik Peterana Chenta, Norhaizi Mohd Rani, 41, menceritakan bagaimana detik sukar terpaksa ditempuhi terutama usahawan dalam bidang itu. Gambar: Astro AWANI
Hampir sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini bagi memutuskan rantaian COVID-19.
Tempoh yang sukar juga terpaksa ditempuh bagi perunding perkahwinan apabila punca rezeki mereka hilang, lebih malang mereka terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit.
Menurut Pemilik Peterana Chenta, Norhaizi Mohd Rani, 41, perniagaannya terjejas apabila terpaksa menunda beberapa majlis perkahwinan akibat pandemik COVID-19.
Namun apa yang diharapkan sekiranya tempoh PKP tamat dalam masa terdekat, langkah berjaga-jaga terus diambil oleh semua pihak.
Lebih-lebih lagi apabila ada kluster yang membabitkan majlis perkahwinan, sudah tentu jelas Norhaizi akan memberikan satu persepsi yang kurang enak dalam kalangan masyarakat.
"Jualan yang kurang itu satu isu, satu isu lagi selepas PKP ini jika diberi kebenaran membuat majlis, rakyat tidak rasa takut dan gusar.
"Yang paling penting kesederan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyeru semua masyarakat sekiranya ingin menjalankan majlis, perlu mengambil langkah berjaga-jaga di mana kita kena menjaga etika kebersihan dalam apa sahaja majlis.
"Pintu masuk utama dan keluar perlu beri disinfeksi sebab langkah ini dah dipraktikan oleh kami sebelum penularan COVID-19. Saya tengok ramai klien saya masuk pintu dewan dah ada orang menjaga sanitizer. Kesedaran ini amat penting kepada semua untuk pastikan semua berjalan dengan lancar," katanya.
Tidak berdiam diri, jelas Norhaizi pihaknya kini sedang giat melakukan pelbagai promosi kepada bakal pengantin dan pelanggan untuk mendapatkan jualan selepas tempoh PKP.
"Perancangan masa depan Haizi dah rancang untuk memastikan bisnes masih berjalan, kita akan mengadakan promosi menarik dengan idea lebih kreatif terutamanya menawarkan harga lebih berpatutan.
"Haizi faham ramai terkesan bukan sahaja emosi tetapi juga kewangan. Menerusi kreativiti ini, Haizi hasilkan benda baru dan mampu milik untuk semua masa depan perniagaan Haizi," jelasnya.
Mengulas berkenaan norma baharu terutama dalam bidang perniagaan secara digital dan atas talian, jelasnya perunding perkahwinan bakal berdepan kesukaran terutamanya melibatkan pelamin perkahwinan.
"Sekarang memang tidak nafikan ramai beralih kepada platform digital, tetapi macam perniagaan Haizi kena setup pelamin dan kreativiti ini adalah susah untuk digital sebab kita perlukan secara realiti.
"Pelanggan perlu melihat hasil kerja kami secara fizikal, ia juga akan melibatkan dewan. Jadi digital boleh perbincangan tetapi aspek lain dalam perniagaan ini dilihat tidak memberi impak," ujarnya.
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #KKM #koronavirus #Pengantin #perintah kawalan pergerakan #perkahwinan #perunding perkahwinan #Peterana Chenta #PKP