MALAYSIA

Peruntukan JAKIM ditetapkan berdasarkan keperluan - Mohd Na’im

Astro Awani 05/11/2025 | 11:18 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar, menjelaskan peruntukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditetapkan berdasarkan keperluan jabatan.


Ringkasan AI
  • Peruntukan JAKIM berdasarkan keperluan jabatan, walaupun mengalami penurunan sebanyak 1.34 peratus atau RM15,743,600 bagi Belanjawan 2026 berbanding tahun sebelumnya.
  • Datuk Mohd Na'im Mokhtar menegaskan bahawa pengurangan peruntukan tersebut tidak akan menjejaskan pelaksanaan dasar sedia ada bagi membangun dan mengurus hal ehwal Islam yang inklusif dan berkesan.
  • Azman Nasruddin (PN-Padang Serai) mempersoalkan penurunan peruntukan sebanyak RM15.7 juta kepada JAKIM dalam Belanjawan 2026, manakala Mohd Na'im menyatakan komitmen JAKIM terhadap agenda pembangunan ummah berteraskan maqasid syariah.


Menurut Mohd Na’im, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam Belanjawan 2026 berbanding 2025, ia tidak menjejaskan pelaksanaan dasar sedia ada.

Beliau menyatakan bahawa peruntukan belanja mengurus JAKIM bagi dasar sedia ada tahun 2026 menurun sebanyak 1.34 peratus atau RM15,743,600 berbanding tahun ini.

“(Ia) berdasarkan keperluan jabatan dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab untuk meningkatkan pembangunan dan pengurusan hal ehwal Islam yang inklusif dan berkesan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Azman Nasruddin (PN–Padang Serai) semasa sesi Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatansuasa Kementerian Hal Ehwal Agama di Dewan Rakyat hari ini.

Semasa sesi perbahasan, Azman Nasruddin (PN–Padang Serai) meminta penjelasan mengenai pengurangan peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM15.7 juta.

Menurut Azman, dalam Belanjawan 2026, peruntukan JAKIM dikurangkan daripada RM1,171,257,100 pada 2025 kepada RM1,155,513,400, iaitu penurunan sebanyak RM15.7 juta.

Nai’m pada masa sama menegaskan JAKIM komited untuk meneruskan agenda pembangunan ummah berteraskan maqasid syariah.




#Dewan Rakyat #JAKIM #Malaysia #Perikatan Nasional