Jumlah peruntukan yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Selangor disifatkan sebagai tidak mencukupi dan tidak membantu menyelesaikan masalah jalan yang dihadapi negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, untuk tahun 2016 Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM95,292,461 namun jumlah itu tidak mencukupi.

Peruntukan itu jelasnya diberi Kerajaan Persekutuan kepada JKR negeri bagi penyenggaraan permukaan jalan, cerun, longkang, jambatan serta penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya sepanjang 1012 KM Jalan Persekutuan dalam negeri Selangor.

"Peruntukan ini adalah untuk senggaraan rutin berkala pavmen dan berkala bukan pavmen yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi iaitu Roadcare Sdn Bhd yang dilantik secara sebut harga oleh JKR daerah," ujarnya.

Jelasnya, jumlah itu tidak mencukupi bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah seperti jalan tidak rata di FT 181 di daerah Klang, terowong laluan motor yang kerap berlaku banjir di FT 02 di daerah Petaling dan pembaikan guardrail (penyangga jalan) di sepanjang Jalan Persekutuan yang rosak akibat kemalangan.

Sebelum ini menurut Zaidy lagi, JKR negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM200 juta bagi tujuan penyenggaraan sepanjang 2016 namun hanya diluluskan sebanyak RM95,292,461.

Sehubungan itu katanya JKR negeri telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi tahun penyenggaraan 2017 sebanyak RM300 juta untuk menyelesaikan masalah di Jalan Persekutuan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Zaidy berkata demikian dalam sesi penggulungan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada Khamis.