Peruntukan khusus isytihar harta digubal tahun depan - Abu Kassim

Harits Asyraf Hasnan
Julai 2, 2019 09:44 MYT
ABU KASSIM: Inisiatif yang dilakukan kini juga sebahagian daripada proses menjadikan pentadbiran negara lebih telus. - Bernama
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed menjangkakan satu peruntukan undang-undang yang khusus berkenaan pengisytiharan harta dan aset akan digubal selewat-lewatnya tahun hadapan.
Jelasnya, inisiatif yang dilakukan kini juga sebahagian daripada proses menjadikan pentadbiran negara lebih telus.
“Ia bukan dalam bentuk undang-undang kerana salah satu inisiatif yang akan dibuat oleh kerajaan melalui Pelan Integriti Nasional ialah menjadikannya satu undang-undang.
“Itu dalam proses yang akan mengambil masa termasuk kajian dan sebagainya di mana ia bukan sahaja melibatkan ahli Parlimen, juga akan melibatkan pihak-pihak lain,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di lobi Parlimen hari ini.
Jelasnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan peruntukan undang-undang khusus itu.
Bagaimanapun, ia masih perlu mendapatkan kelulusan daripada Kabinet untuk memastikan kerajaan berpuas hati bahawa undang-undang itu cukup komprehensif untuk dikuatkuasakan.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan Ahli Parlimen termasuk isteri dan anak mengisytiharkan harta masing-masing.
#Abu Kassim Mohamed #isytihar harta #peruntukan undang-undang #Rasuah #SPRM