KUDAT: Peruntukan Belanjawan 2027 berjumlah RM18.7 bilion bagi Sabah bukan diperuntukkan untuk projek pembangunan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kos pengurusan kementerian dan jabatan Persekutuan yang beroperasi di negeri ini, kata Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata sebahagian besar peruntukan berkenaan digunakan untuk menampung perbelanjaan mengurus, termasuk pembayaran gaji kira-kira 120,000 penjawat awam Persekutuan yang bertugas di Sabah.
Masidi berkata Jabatan Pendidikan serta Jabatan Kesihatan merupakan penerima peruntukan pengurusan terbesar dengan kedua-dua sektor itu menggunakan lebih separuh daripada keseluruhan peruntukan RM18.7 bilion berkenaan.
"Jumlah RM18.7 bilion ini bukan semuanya untuk pembangunan. Kita kena faham bahawa peruntukan itu termasuk kos pengurusan kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan yang beroperasi di Sabah.
"Jadi, tidak tepat jika kita menganggap RM18.7 bilion itu semuanya diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan pembangunan lain di negeri ini," katanya kepada pemberita di sela-sela Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di sini, hari ini.
Masidi berkata peruntukan pembangunan dalam belanjawan tersebut turut merangkumi pembiayaan projek baharu dan kesinambungan projek sedia ada yang sedang dilaksanakan di lapangan.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa bukan keseluruhan jumlah peruntukan berkenaan boleh dianggap sebagai peruntukan baharu bagi membiayai projek pembangunan.
Keperluan pembangunan di Sabah, katanya, sentiasa meningkat saban tahun dan peruntukan sedia ada tidak semestinya mencukupi untuk menyelesaikan semua isu prasarana yang telah berlarutan sekian lama di negeri ini.
-- BERNAMA