KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM19 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2024 adalah bagi memperkukuh kawalan keselamatan negara dan menjamin kebajikan kakitangan kementerian itu.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini sesuai dengan peranan KDN yang dipertanggungjawab untuk mengurus pelbagai jabatan dan agensi bagi memastikan keterjaminan ketenteraman awam serta kawalan sempadan.

Beliau berkata KDN berfungsi di bawah 51 akta Parlimen menerusi tujuh teras utama iaitu pengukuhan keselamatan dan ketenteraman awam, pengurusan tahanan, kawalan sempadan dan maritim serta pintu masuk negara,hal ehwal pengurusan warga asing, pemulihan dan pencegahan dadah, pemerkasaan komuniti dan industri serta kebajikan anggota.

"Ini menjadikan KDN menguruskan banyak jabatan (dan) agensi besar... KDN terdiri daripada kira-kira 120,000 anggota polis (manakala) anggota Jabatan Imigresen Malaysia seramai 15,000 dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pula sekitar 60,000, antara lain.

"Jadi peruntukan RM19 bilion kepada KDN membolehkan kita membuat penambahbaikan dalam pelbagai aspek terutama kebajikan anggota," katanya dalam program Naratif Khas bertajuk 'Pasca Belanjawan 2024: Memperkukuh Perpaduan dan Keselamatan Negara' terbitan RTM pada malam Isnin.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan sebanyak RM19 bilion kepada KDN merupakan pertambahan sejumlah RM500 juta berbanding 2023.

Saifuddin Nasution juga berkata peruntukan itu membolehkan kawalan sempadan darat dan perairan dipertingkat sekali gus mencegah kerugian negara akibat aktiviti yang melanggar undang-undang.

"(Di Malaysia), sempadan darat lebih kurang 4,000 kilometer manakala sempadan laut 590,000 kilometer persegi... di sini sering berlaku penyeludupan rokok, penangkapan ikan secara haram dan lain-lain... dianggarkan kerugian yang dialami ialah sebanyak RM5 bilion setahun kepada kutipan hasil dalam negara.

"Oleh itu, kesannya cukup membimbangkan jika fungsi kawalan keselamatan darat dan laut diabaikan atau tidak cekap, jadi itu merupakan antara justifikasi peruntukan kepada KDN," katanya.

-- BERNAMA