[TERKINI] Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN. Pimpinan Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan ikut langkah sama. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Peruntukan tambahan bayaran balik RM4 bilion selesai diproses dan dikreditkan - LHDN

Bernama 30/12/2025 | 06:15 MYT
LHDN memaklumkan telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM19 bilion dan melibatkan 3,632,003 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Dis.
PUTRAJAYA: Keseluruhan peruntukan tambahan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM4 bilion, telah selesai diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 24 Dis, melibatkan 110,074 kes, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Ringkasan AI
  • LHDN telah menyelesaikan proses peruntukan tambahan bayaran balik lebihan cukai sejumlah RM4 bilion dalam tempoh 9 hingga 24 Disember, melibatkan 110,074 kes, sejajar dengan peningkatan peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Keseluruhan bayaran balik cukai yang diproses oleh LHDN bagi tahun 2021 ialah sebanyak RM19 bilion, melibatkan 3,632,003 kes, dengan RM1 bilion pertama digunakan untuk menyelesaikan tunggakan bayaran balik melebihi tiga tahun, tanpa mengira jumlah yang terlibat.
  • LHDN menasihati pembayar cukai untuk mengemaskini maklumat akaun bank dengan tepat dan terkini bagi memastikan proses bayaran balik berjalan lancar, sambil memberi keutamaan kepada pembayaran yang tertunggak, terutamanya yang melibatkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana.


Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Dis, bahawa kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion, bagi mempercepat pembayaran yang masih tertunggak kepada pembayar cukai.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM19 bilion dan melibatkan 3,632,003 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Dis.

"Bagi tempoh 1 Jan hingga 8 Dis, sejumlah RM15 bilion telah diproses dengan lebih tiga juta kes direkodkan, manakala bagi tempoh 9 hingga 15 Dis, 16 hingga 18 Dis, 19 hingga 22 Dis dan 24 hingga 24 Dis, masing-masing amaun berjumlah RM1 bilion telah diproses.

"Dana tambahan RM1 bilion pertama yang diperuntukkan telah berjaya menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga tahun, tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat," menurut kenyataan LHDN.

Dana RM3 bilion berikutnya telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia dua ke tiga tahun, dengan tumpuan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana.

LHDN turut menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada agensi itu adalah tepat dan terkini, bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.

Hal ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul, selain tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan.

"LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS," menurut kenyataan LHDN.

-- BERNAMA










#LHDN #bayaran balik lebihan cukai #peruntukan tambahan #selesai dibayar