PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Wilayah Persekutuan diminta meneliti peruntukan yang akan diterima melalui Belanjawan 2027 bagi memperkukuh penjagaan serta kebajikan warga emas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Beliau berkata, pendekatan sedia ada perlu disesuaikan dengan keperluan fizikal dan sosial warga emas, termasuk mereka yang terlantar, tinggal bersendirian atau kehilangan pasangan hidup.
Program untuk warga emas, menurut beliau tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti fizikal seperti senamrobik dan berjalan pantas, sebaliknya perlu merangkumi aktiviti bersesuaian dengan keupayaan serta minat golongan itu.
“Warga emas berusia 60 tahun dan 80 tahun, keperluan mereka sangat berbeza. Kalau kita tidak fikirkan keperluan warga emas ini, kita buat program yang senang untuk dianjurkan tetapi susah untuk mereka ikuti, keperluan itu tidak dapat kita penuhi,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Warga Emas Wilayah Persekutuan peringkat Putrajaya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, isu kesunyian dalam kalangan warga emas juga perlu diberikan perhatian kerana mereka yang tinggal bersendirian atau kehilangan pasangan hidup berisiko terpinggir daripada kehidupan sosial serta terdedah kepada ancaman jenayah penipuan.
“Ramai anak dan cucu tidak bermaksud mereka tidak sunyi. Ramai anak, ramai cucu mungkin lebih sunyi kerana semua orang sibuk dengan jadual masing-masing,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya pusat komuniti serta rumah ibadah mendekati warga emas yang kehilangan pasangan hidup dan merancang aktiviti susulan bagi memastikan mereka tidak dibiarkan bersendirian.
Beliau berkata, usaha itu perlu diperluas kepada warga emas yang tidak berupaya menghadiri program di Pusat Aktiviti Warga Emas supaya mereka turut mendapat sokongan sosial yang diperlukan.
Hannah turut menyatakan komitmen pihaknya untuk memberikan sokongan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha memperkasakan golongan rentan termasuk warga emas.
-- BERNAMA