Perwakilan lancar lagu dan baju rasmi selepas 41 tahun

Sahlizah Mohamed
Mac 18, 2019 06:33 MYT
Perwakilan buat julung kalinya memiliki baju dan lagu rasmi sejak ditubuhkan pada tahun 1978. - Astro AWANI/Shahir Omar
Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) pada Isnin melancarkan baju dan lagu rasmi persatuan yang telah ditubuhkan hampir 41 tahun lalu.
Lagu bertajuk ‘Perwakilan Bersama Anda’ itu dihasilkan menerusi kerjasama dua individu iaitu Keino Mess dan Khairul S.
Baju yang dilancarkan pula mengetengahkan konsep batik sarong sebagai baju rasmi yang dilengkapi dengan logo khas Perwakilan.
Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali melahirkan rasa bangga dan gembira apabila Perwakilan buat julung kalinya memiliki baju dan lagu rasmi sejak ditubuhkan pada tahun 1978.
“Saya gembira Perwakilan sudah ada baju dan lagu sendiri.
“Ia bukan hanya akan menjadi lambang dan identiti Perwakilan, malah akan meningkatkan perasaan kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan ahli,” katanya pada Isnin.
Teks ucapan Tun Dr Siti Hasmah dibacakan oleh isteri Menteri Luar Negeri merangkap Penaung Perwakilan, Datin Norlin Shamsul Bahri pada Majlis Pelancaran Baju dan Lagu Rasmi Perwakilan di Putrajaya.
Beliau dalam ucapannya turut mengharapkan para isteri dan ahli Perwakilan mengambil kesempatan untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam aktiviti anjuran persatuan.
Turut hadir ialah Timbalan Menter Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahya yang mewakili Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah.
“Penglibatan yang aktif mampu meningkatkan tahap keyakinan diri dan mempersiapkan diri dengan pengalaman berguna.
“Saya mengharapkan Perwakilan dapat mengeratkan jalinan ukhwah antara ahli terutama semasa berada di luar negara,” katanya.
Perwakilan merupakan persatuan wanita pertama ditubuhkan dalam sektor awam negara.
Keahlian bukan sahaja di peringkat kementerian, malah turut mempunyai cawangan di semua 106 pejabat Kedutaan Besar Malaysia di luar negara.
Sehingga kini, jumlah ahli Perwakilan mencecah hampir 1,500 orang.
#Aswara #baju rasmi #batik sarong #konsep batik #lagu rasmi #persatuan #persatuan wanita kementerian luar negeri #perwakilan #Siti Hasmah Mohamad Ali