MELAKA: Gagal menderma darah sebanyak tiga kali ekoran bacaan hemoglobin rendah menjadi punca Suindah Md Pazel dapat mengesan kanser pangkal rahim setelah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Putrajaya pada 2016.

Suindah, 45, yang tinggal di Semabok di sini berkata beliau bersyukur kanser serviks yang dihidapinya itu dapat dikesan menerusi ujian pap smear dilakukannya dan barah berkenaan dikategorikan sebagai peringkat prakanser.

Ibu kepada empat anak berusia 21 hingga 26 tahun itu berkata beliau seterusnya menjalani rawatan laser bagi membuang sebahagian pangkal rahim yang dikesan terdapat pembiakan sel tersebut sebelum disahkan bebas daripada barah berkenaan pada Jun 2020.

"Pada mulanya saya sangat sedih apabila keputusan ujian pap smear menunjukkan terdapat sel kanser di bahagian rahim dan ia telah merebak lebih besar.

"Ketika itu saya berusia 39 tahun dan saya tidak dapat menerima keputusan itu kerana telah menjaga makan, kesihatan dan menjalani kehidupan aktif.

"Tetapi saya bersyukur kerana kanser berkenaan dapat dikesan di peringkat awal dan reda dengan takdir yang telah ditetapkan untuk saya," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Bekas kakitangan Unit Perkhidmatan Tradisional dan Komplementari di Hospital Putrajaya itu berkata sokongan ahli keluarga khususnya suami Abd Aziz Abd Jabbar, 62, anak-anak dan rakan-rakan sangat penting dan merupakan kekuatan baginya untuk meneruskan perjuangan sebagai kanser 'survivor'.

Beliau berkata selain itu, individu yang dikesan menghidap kanser disarankan mengikut nasihat doktor dan menjalani rawatan ditetapkan dan bukannya mencari alternatif lain terlebih dahulu.

"Alhamdulillah, perjalanan saya sebagai pesakit kanser berjalan lancar dan kini saya boleh menarik nafas lega setelah disahkan bebas daripada kanser, namun pemeriksaan susulan tiga bulan sekali di Institut Kanser Negara (IKN) masih perlu saya jalani," katanya yang menawarkan perkhidmatan mengurut dari rumah ke rumah.

Suindah berkata banyak ilmu dan pengalaman diperoleh sepanjang berjuang melawan sel kanser berkenaan dan beliau kini merupakan ahli 'Guidance and Patient Support' di bawah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan sering berkongsi ilmu berkenaan dengan pesakit kanser baharu.

Sementara itu, Siti Aishah Arshad, 36, yang merupakan ibu kepada kanser 'survivor' buah pinggang Nur Fadhilah Damia Mohd Iszwan, 7, berkata barah berkenaan dikesan ketika anaknya berusia dua tahun selepas tidak mahu minum susu dan bengkak perutnya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata bayi perempuan tunggalnya itu disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap tiga dan perlu membuang organ bahagian kanan selain menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 18 kali dalam tempoh dua tahun ketika usianya mencecah empat tahun.

"Ketika pemeriksaan dilakukan di Hospital Melaka, tumor sebesar lapan sentimeter dikesan pada buah pinggang belah kanannya dan telah makan organ berkenaan sehingga terpaksa dibuang agar sel tersebut tidak merebak pada organ lain.

"Rawatan dan kemoterapi dilakukan di Hospital Kuala Lumpur dan alhamdulillah dia kini bebas kanser berkenaan tetapi masih perlu menjalani rawatan susulan kanser dan jantung kerana kini disahkan menghidap sakit jantung dan perlu bergantung pada ubat," katanya yang terpaksa berhenti kerja sebagai akauntan sebuah syarikat swasta di Melaka untuk menjaga anak keduanya itu.

Siti Aishah berkata antara perkara yang tidak dapat dilupakan sebagai seorang ibu ialah melihat bayi yang dilahirkan dalam keadaan sihat tiba-tiba sakit dan tidak mempunyai rambut dan kening kerana sesi kemoterapi yang dilaluinya.

Beliau berkata selain itu, berat badan Nur Fadhilah Damia juga pernah hanya tujuh kilogram ketika berusia tiga tahun dan tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak seusianya selepas menjalani pembedahan membuang buah pinggang.

Katanya kesihatan anaknya itu kini semakin baik selain aktif tetapi murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong itu mudah penat.

-- BERNAMA