[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Pesakit wad kelas tiga tidak dikenakan caj baharu jika terpaksa duduk kelas dua

Bernama 15/11/2016 | 15:50 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata keputusan tersebut dibuat kementeriannya jika situasi tersebut berlaku kepada mana-mana pesakit di hospital kerajaan. - Gambar hiasan
Caj baharu tidak terpakai ke atas pesakit wad kelas tiga yang terpaksa menerima rawatan di wad kelas dua, sekiranya tiada katil kosong di wad kelas tiga.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata keputusan tersebut dibuat kementeriannya jika situasi tersebut berlaku kepada mana-mana pesakit di hospital kerajaan.
"Saya berjanji kerajaan sememangnya komited dan mempunyai komitmen tinggi untuk memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat perkhidmatan berkualiti pada harga berpatutan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.
Justeru, Dr Subramaniam menjelaskan ini sekaligus mengurangkan kerisauan dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.
Semalam, Dr Subramaniam mengumumkan caj baharu perkhidmatan wad pesakit kelas satu dan dua di hospital kerajaan akan dinaikkan berkuat kuasa 1 Jan 2017, bagaimanapun kadar baharu itu belum diputuskan.
-- BERNAMA
#Kelas Dua #kelas tiga #pesakit #rawatan kesihatan