KUANTAN: Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga tuduhan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu untuk insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM9,537.78, dua tahun lepas.

Rozina Abu Bakar, 62, yang beralamat di Rompin dekat sini, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut semasa berkhidmat sebagai pengurus di sebuah pusat kemahiran dalam daerah ini, dengan bersubahat dengan seorang lelaki untuk mengemukakan laporan kursus pengurusan perniagaan melalui internet di bawah program tersebut, bagi tiga individu antara 4 Okt hingga 1 Dis 2021.

Laporan yang dikemukakan kepada ejen Perkeso itu, didakwa mengandungi butiran palsu bagi menuntut bayaran RM3,179.26 untuk setiap individu terlibat, sedangkan mereka tidak pernah menghadiri kursus dinyatakan tersebut.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai terlibat, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Peguam Mohd Fadzli Mohd Ramly yang mewakili Rozina, merayu jaminan RM15,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan, atas alasan tertuduh mempunyai lima anak dengan seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu menjelaskan jaminan jika dikenakan jumlah tinggi.

"Saya dimaklumkan ahli keluarga tertuduh telah menggadaikan barang kemas sebagai persediaan menjelaskan wang jaminan. Ini kali pertama tertuduh disiasat dan didakwa di mahkamah dan dia telah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak terlibat," katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, manakala sebutan semula kes pada 21 Dis ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rifah Izzati Abdul Mutalif.

-- BERNAMA