Golongan pesara disaran agar tidak meminggirkan diri daripada masyarakat hingga tidak ambil peduli perkembangan semasa di sekeliling mereka.

Anggota Exco Pertanian Dan Industri Asas Tani,Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata sikap seumpama itu hanya akan merugikan dan pesara itu sendiri akan terlepas banyak manfaat serta peluang yang disediakan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan.

"Kebanyakan pesara tidak menyedari bahawa kerajaan masih dapat membantu mereka asalkan mereka dapat bersama dalam masyarakat dengan melakukan kerja-kerja kebajikan dalam komuniti ", katanya.

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali keempat Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Besut di Dewan Masjid Hadhari Jerteh, di sini, pada Isnin.

"Pesara boleh menyumbang bakti melalui perkongsian pengalaman mereka dalam membantu memajukan persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tempat mereka.

"Kerajaan negeri mempunyai banyak kemudahan seperti memberi kemudahan perubatan, menghantar pesara mengerjakan haji dan umrah serta pelbagai bantuan lain yang dilaksanakan hampir setiap tahun," katanya. - BERNAMA