KUANTAN: Seorang pesara guru kerugian lebih RM1.1 juta selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud menerusi aplikasi TikTok.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, lelaki berusia 65 tahun itu melihat iklan di media sosial berkenaan dan berhubung dengan individu yang mendakwa sebagai ejen syarikat terbabit melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, mangsa diberi penerangan tentang pelaburan saham dan analisis pasaran kewangan sebelum bersetuju menyertai skim ditawarkan.
“Lelaki itu kemudiannya membuat 22 transaksi ke enam akaun bank yang berbeza secara dalam talian dan urusan di kaunter institusi kewangan antara 21 Ogos hingga 7 Okt lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azry Akmar berkata, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa masih diminta membuat bayaran tambahan atas alasan yang tidak munasabah.
Sehubungan dengan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam selepas menyedari ditipu setelah tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA