Pesara polis mengaku tidak bersalah tetak dan ugut jiran

Adie Sufian Zulkefli
April 27, 2020 05:46 MYT
Tertuduh S. Santhana Dass (kiri) ketika dibawa ke mahkamah kerana dituduh mendatangkan kecederaan dan menakutkan secara jenayah jirannya pada 13 April lalu. -Astro AWANI
Seorang pesara polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini, atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan dan menakutkan secara jenayah jirannya, pada 13 April lalu.
Tertuduh, S Santhana Dass, 63, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pendakwaan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Farid Hasbullah Mohd Ariffin, 26, dengan menggunakan parang di Taman Kempas, Sungai Petani pada 8.30 malam, 13 April lalu.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah ke atas individu sama dengan ugutan mahu menyebabkan kematian.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 dan 506 Kanun Keseksaan yang membawa hujuman penjara antara tujuh hingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
BACA:'Abang sado' ditetak jiran sebab buat bising
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husnah Omar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 24 Jun ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bersama syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan sekiranya ada laporan polis dibuat, jaminan akan dibatalkan.
Dalam laporan Astro AWANI sebelum ini, mangsa parah ditetak jirannya dipercayai berpunca daripada bunyi bising dari rumah mangsa.
Mangsa dikatakan sedang menggunakan peralatan gimnasium di bahagian ruang tamu rumahnya sebelum satu pertengkaran berlaku di antara mereka.
#Kanun Keseksaan #menakutkan jiran #Nurul Husnah Omar #Santhana Dass #Seksyen 326 #Sungai Petani #Taman Kempas #tetak jiran