NATIONAL

Pesara rugi lebih RM311,000 angkara ditipu pelaburan tidak wujud

Bernama 19/04/2025 | 08:24 MYT
Wanita berusia 66 tahun itu mendakwa telah memuat turun aplikasi diberikan suspek bagi tujuan pelaburan tersebut. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang pesara mengalami kerugian lebih RM311,000 selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan di aplikasi TikTok.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 66 tahun itu mendakwa telah memuat turun aplikasi diberikan suspek bagi tujuan pelaburan tersebut.

"Wanita itu telah memindahkan wang simpanannya melalui 16 transaksi ke enam akaun bank berjumlah lebih RM311,000 dari 5 Jan hingga Selasa lepas.

"Namun dia mula merasa ditipu setelah tidak dapat mengakses aplikasi pelaburan itu dan diminta membuat bayaran lain kononnya untuk melepaskan kawalan risiko bank," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pesara itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

#mangsa kerugian #scam #sindiket penipuan #pelaburan tidak wujud