MALAYSIA

Pesara rugi RM500,000 akibat pelaburan tidak wujud di Miri

Bernama 09/07/2025 | 15:30 MYT
Seorang pesara syarikat swasta di sini kerugian hampir RM500,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud. - Foto hiasan
MIRI: Seorang pesara syarikat swasta di sini kerugian hampir RM500,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu dilaporkan mula berurusan dengan suspek yang menyamar sebagai penyelia sebuah kumpulan pelaburan, melalui sebuah iklan di laman Facebook pada pertengahan Mei lepas.

"Tertarik dengan tawaran pelaburan yang dijanjikan, mangsa menekan pautan iklan tersebut dan kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mancha berkata mangsa yang terpedaya telah membuat beberapa transaksi pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek, melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM500,000.

"Lelaki itu mula menyedari ditipu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan pelaburan, sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu baru-baru ini.

"Sehingga laporan dibuat mangsa hanya menerima pulangan kira-kira RM65,000 sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan yang ditawarkan di laman sosial tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

-- BERNAMA


#pesara syarikat swasta #rugi #penipuan pelaburan dalam talian #Polis Sarawak