SETIU:Seorang pesara tentera maut selepas motosikal berkuasa besar jenis Harley-Davison yang ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta di Jalan Rhu 10 Pantai Penarik, Setiu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, Ajlan  Mohamad, 61, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Mangsa dipercayai hilang kawalan dan terlanggar belakang sebuah Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 55 tahun dari arah Penarik hendak membelok ke simpang menghala ke Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.