Pesawat AirAsia yang hilang bersama 162 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan ke Singapura mungkin berada di dasar laut, jelas Ketua Badan Cari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) pada Isnin.

“Berdasarkan koordinat yang telah didedahkan dan analisa yang menganggarkan kedudukan pesawat yang berada di sekitar lautan, kesimpulannya pesawat terbabit berada di dasar laut,” dedah Bambang Soelistyo dalam satu sidang media.

Soelistyo berkata Indonesia tidak mempunyai “alat” seperti kenderaan kapal selam yang diperlukan untuk membawa naik pesawat tersebut dari dasar lautan, tetapi berkemungkinan akan meminta bantuan daripada beberapa negara lain jika perlu.

“Memandangkan kami berhadapan dengan masalah kekurangan alat teknologi, saya telah meminta Menteri Luar supaya kita boleh meminjam daripada negara-negara yang telah menawarkan bantuan kepada kita. Mereka adalah dari United Kingdom, Perancis, dan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Pesawat jenis Airbus A320-200 itu hilang pada Ahad dalam perjalanan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura sejurus selepas juruterbang meminta supaya laluan dan ketinggian penerbangan diubah berikutan cuaca buruk.

Singapura, Malaysia dan Australia telah menghantar beberapa pesawat ringan dan kapal untuk membantu Indonesia dalam misi mencari di tengah Laut Jawa.

Amerika Syarikat juga berkata mereka bersedia untuk memberikan sebarang bantuan jika diperlukan.