Pesawat pertama bawa bekalan bantuan kesihatan ke Sabah selamat tiba di KKIA

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 30, 2020 10:53 MYT
Pesawat bantuan dari Subang tersebut membawa bekalan bantuan kesihatan seberat lima tan. - Astro AWANI/Syah Hairizal Kamalul Arifin
KOTA KINABALU: Pesawat pertama yang membawa bekalan bantuan kesihatan ke Sabah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 3.25 petang Jumaat.
Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C-130h itu yang berlepas pada jam 7 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang selamat mendarat di KKIA dan disambut oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Pesawat tersebut membawa bekalan bantuan seberat lima tan.
Barangan yang dibawa adalah barangan kelengkapan Kementerian Kesihatan Malaysia KKM berupa set peralatan perlindungan diri PPE sebanyak 400 kotak, pelindung muka sebanyak 50 kotak dan Coverall / Jumpsuit sebanyak 50 kotak.
Terdahulu pada awal pagi, dua buah pesawat angkut milik TUDM berlepas ke Sabah dan Sarawak dari LTSAAS bagi menghantar barang-barang kritikal dalam usaha memerangi penularan COVID-19 di negeri tersebut.
Sementara itu, sebuah lagi pesawat A400M yang membawa bekalan bantuan serupa dijadual tiba di KKIA pada malam Jumaat.
#pesawat #bantuan kesihatan #bekalan #Subang #KKIA #Sabah #TUDM #Jabatan Kesihatan Negeri #JKNS #PPE