KUALA LUMPUR: 1 Jun 2021 bukan sahaja tarikh yang diingati kerana tarikh bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalam Pergerakan Penuh (PKP), tetapi juga hangat dengan isu ‘pencerobohan’ ruang udara negara oleh pesawat tentera udara China.

Ini menimbulkan beberapa persoalan yang hangat terutama dikalangan masyarakat di Malaysia samada ini adalah suatu bentuk pelanggaran ke atas keutuhan wilayah Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat.

‘Pencerobohan’?

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), 16 penerbangan pesawat China yang mencurigakan telah dilaporkan memasuki ruang udara zon maritim Malaysia.

Pesawat-pesawat ini terbang menghampiri 60 batu nautika daripada pantai Wilayah Sarawak serta mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.

Antara pesawat milik China yang dikesan di ruang udara Malaysia - Foto TUDM

Menerusi kenyataan media yang sama, pihak TUDM mengatakan bahawa kejadian ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.

Sepertimana yang diketahui umum, China telah membuat tuntutan keatas kawasan yang luas di Laut China Selatan menerusi tuntutan sembilan garis putus (nine-dash line) yang mengunjur dari utara ke selatan sehingga ke perairan Sarawak.

Melalui tuntutan maritim ini juga, ia turut juga merangkumi ruang udara di atasnya.

Kawasan luas yang dituntut oleh China ini bertindih dengan wilayah maritim negara-negara sekitar yang juga dituntut oleh Malaysia yang mana Malaysia juga memiliki kedaulatan dan hak berdaulat ke atasnya.

Sekiranya Malaysia berdiam diri, ini boleh memberi erti bahawa Malaysia membuat pengakuan terhadap keabsahan tuntutan sembilan garis putus yang dibuat oleh negara China di Laut China Selatan.

Memandangkan pihak TUDM sendiri sudah mengeluarkan kenyataan bahawa peristiwa ini boleh mengancam keselamatan negara, wajar bagi Malaysia membantah apa yang dilakukan oleh pihak negara China ini.

Tambahan pula, kebanyakan kawasan maritim di Laut China Selatan adalah kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) yang mana Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 (UNCLOS) membenarkan pesawat asing untuk terbang secara bebas melalui ruang udara di zon itu, seperti mana yang diperuntukkan oleh Perkara 58(1) dibawah UNCLOS.

Akan tetapi, Perkara Perkara 58(1) UNCLOS ini perlu dibaca bersama-sama dengan beberapa peruntukan lain dibawahnya terutama sekali Perkara 88.

Laluan udara pesawat tentera udara China - Foto TUDM


Perkara 88 memperuntukkan bahawa perairan EEZ ini hanyalah boleh digunakan untuk tujuan keamanan.

Walaupun Perkara 88 UNCLOS ini terpakai untuk zon laut lepas (high seas), akan tetapi, bagi tujuan pelayaran dan penerbangan, EEZ juga boleh dianggap sebagai zon laut lepas.

Maka, ini bermakna Perkara 88 terpakai dalam konteks ini.

Sewaktu menjadi negara Ahli bagi UNCLOS pada tahun 1996, Malaysia telah membuat pengisytiharan bahawa konvensyen ini tidak memberikan kebenaran kepada negara-negara lain untuk menjalankan latihan ketenteraan di dalam kawasan EEZ tanpa kebenaran negara pesisir berkenaan, dimana Malaysia ialah salah sebuah negara pesisir ini.

Penggunaan ruang udara bagi tujuan latihan ketenteraan seperti yang berlaku semalam boleh ditakrifkan sebagai EEZ ini bukan bagi tujuan keamanan seperti yang termaktub didalam Perkara 88 diatas.


Kesimpulan

Dalam isu ini, pihak TUDM sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa apa yang telah berlaku semalam boleh mengancam kedaulatan negara Malaysia.

Walaupun pihak Kedutaan China di Kuala Lumpur telah mengeluarkan kenyataan bahawa kejadian ini hanyalah latihan ketenteraan biasa yang dikatakan berketepatan dengan undang-undang antarabangsa berhubung kebebasan penerbangan, tindakan pihak China ini sememangnya patut dibantah secara tegas oleh negara Malaysia.

Oleh kerana itu, Kuala Lumpur akan mengeluarkan notis bantahan kepada Beijing melalui Kementerian Luar, seperti yang dilaporkan oleh media pada awal pagi ini.

Sebagai negara-negara Ahli kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia dan China perlu menghormati kedaulatan dan hak berdaulat serta keutuhan wilayah masing-masing.

Lagi pula, memandangkan Malaysia dan China merupakan negara Ahli kepada UNCLOS, kedua-dua negara perlulah patuh kepada kehendak perjanjian antarabangsa ini menerusi konsep undang-undang antarabangsa iaitu pacta sunt servanda dimana sebarang ‘Perjanjian antarabangsa perlulah dilaksana dan dihormati dengan sesuci hati’.


* Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli dan Dr. Fareed Mohd Hassan adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

** Dr. Mohd Hazmi juga adalah felo bersekutu kanan di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.


*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI