MALAYSIA
Pesawat terbang rendah sempena perbarisan persaraan Panglima Tentera Udara
TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat terbang rendah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu khususnya di sekitar ruang udara Subang, bermula hari ini hingga Khamis depan.
Menurut kenyataan TUDM hari ini, ia bersempena Perbarisan Persaraan Panglima Tentera Udara (PTU) ke-20 Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang akan diadakan di Pangkalan Udara Subang pada 26 Jun.
"Sehubungan dengan itu, TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat terbang rendah," menurut kenyataan itu.
Mohd Asghar Khan berkhidmat dalam TUDM selama lebih 42 tahun sejak menyertai pasukan itu pada 18 Julai 1983 sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD).
Beliau memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985 dan telah menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E, MiG-29N dan Sukhoi 30MKM.
Mohd Asghar Khan menyandang jawatan sebagai PTU sejak 7 Mac 2022, menggantikan Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang bersara wajib.
-- BERNAMA