Pesawat terhempas di Elmina: Bedah siasat semua mangsa dijangka selesai Isnin - KPN

Hilmi Malik
Ogos 18, 2023 07:07 MYT
Tan Sri Razarudin Husain berkata bedah siasat berkenaan turut bergantung kepada proses pengecaman identiti. - Gambar/ Astro AWANI
KLANG: Proses bedah siasat kesemua mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, pada Khamis dijangka selesai Isnin ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata bedah siasat berkenaan turut bergantung kepada proses pengecaman identiti.
Ujarnya lagi, proses pengecaman tersebut sememangnya memakan masa berikutan ia perlu dipadankan dengan DNA waris mangsa.
"(Keadaan tubuh) mayat ada yang tinggal badan, kepala... dan mengikut forensik ada lebih 200 cebisan mayat.
"Proses makan masa... seperti yang dimaklumkan Jabatan Kimia paling awal hari Isnin.
"Saya telah maklum kepada ahli keluarga mangsa supaya mereka tidak tunggu di Jabatan Forensik hospital dan rehat di kawasan penginapan masing-masing.
"Kita bimbang nanti ada ahli keluarga yang sakit kerana ruangan menunggu tidak begitu selesa dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas memberikan taklimat kepada waris mangsa di perkarangan Jabatan Forensik Tengku Ampuan Rahimah Hospital (HTAR) pada Jumaat.
[LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina
Dalam pada itu, Razarudin turut memaklumkan, proses pengurusan jenazah mangsa akan dibantu sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
PDRM juga katanya akan menyediakan khidmat juruiring sehingga jenazah tiba di lokasi masing-masing.
Tragedi pesawat terhempas di Elmina meragut seramai 10 mangsa termasuk dua orang awam.
Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.
Ketika kejadian, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.
#nahas pesawat #tragedi pesawat elmina #Elmina #bedah siasat #pengecaman identiti