KLANG: Sembilan jenazah mangsa nahas pesawat dekat Elmina, Seksyen U16 Shah Alam akan diserahkan kepada waris pada Ahad.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua jenazah ini boleh dituntut di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Semua urusan melibatkan proses pemadanan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) telah selesai.

"Kesemua identiti mayat telah dikenal pasti menerusi usaha yang dijalankan sebelum ini," katanya dalam sidang media di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini pada Sabtu.

Katanya, waris kesemua jenazah terbabit perlu membuat laporan polis terlebih dahulu.

"Pegawai penyiasat akan menghubungi wakil waris untuk menjelaskan bagaimana laporan polis dibuat berkaitan urusan menuntut jenazah.

"Produser ini bagi memudahkan urusan penyerahan jenazah kepada waris," katanya.

Menurut Hussein, jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah untuk diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi urusan selanjutnya.

"Urusan berkaitan lokasi pengebumian akan ditentukan oleh waris jenazah," katanya.

Pada Khamis, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.

Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.


- Sinar Harian