Pesawat terhempas di Elmina: Sembilan van jenazah bawa mangsa nahas

Sinar Harian
Ogos 20, 2023 01:25 MYT
Suasana di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah di Klang, hari ini. - Foto Sinar Harian
KLANG: Van jenazah yang akan membawa sembilan mangsa nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, sudah berada di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pada Ahad.
Jenazah kesemua mangsa akan mula diserahkan kepada keluarga secara berperingkat bermula pagi ini.
Jenazah mangsa diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk dibawa ke Masjid Al-Rahimiah, di sini, bagi disolatkan sebelum dibawa ke kawasan pengebumian masing-masing.
Pada Sabtu, jenazah pertama mangsa nahas pesawat dituntut ahli keluarga pada 9.30 pagi.
Jenazah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dibawa ke Masjid Al-Rahimiah, di sini, untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Kedah.
Seramai 10 individu disahkan terkorban iaitu dua kru pesawat, enam penumpang dan dua orang awam.
[LAPOR LANGSUNG] Nahas Elmina: Ujian DNA selesai, semua jenazah boleh dituntut
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Sabtu dilaporkan berkata, proses mengenal pasti mayat semua mangsa terbabit sudah selesai.
Mesyuarat bersama semua agensi yang terbabit bencana dimaklumkan bahawa keputusan ujian DNA semua mangsa sudah diperoleh dan identiti mangsa dikenal pasti. - Sinar Harian
#pesawat terhempas Elmina #Hussein Omar Khan #van jenazah