Pesawat terhempas Elmina: Jangan sebar imej, video mangsa terkorban - MB Pahang

Faida Rahim
Ogos 17, 2023 12:23 MYT
Mewakili Kerajaan Pahang, Wan Rosdy merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Johari serta keluarga semua mangsa yang terbabit dalam nahas itu. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta orang ramai tidak menyebarkan imej atau video mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat dekat Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.
Beliau berkata, tindakan itu bagi menghormati keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan.
“Saya juga menyeru agar orang ramai tidak menyebarkan imej atau video mangsa ketika kemalangan bagi menghormati keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan,” tulisnya di Facebook.
Dalam satu kenyataan, beliau menzahirkan kesedihan dan dukacita kerana dimaklumkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun antara salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas itu.
Mewakili Kerajaan Pahang, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga semua mangsa yang terbabit dalam nahas itu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pahang kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak menaburkan khidmat bakti untuk rakyat di negeri ini.
Sementara itu, beliau turut berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin.
#Facebook #Wan Rosdy Wan Ismail #Menteri Besar #khidmat bakti