Pesawat terhempas: Jet Valet sahkan terima laporan pesawat miliknya terhempas di Elmina

Bernama
Ogos 17, 2023 10:57 MYT
Syarikat pengendali pesawat berkenaan memaklumkan pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai insiden itu. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Syarikat Jet Valet Sdn Bhd mengesahkan menerima laporan berhubung insiden sebuah pesawat milik syarikat itu yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor hari ini.
Syarikat pengendali pesawat berkenaan memaklumkan pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai insiden itu, dan akan memberi komitmen penuh serta kerjasama dalam siasatan yang akan dijalankan.
"Pada masa ini, pihak Jet Valet tidak dapat mengesahkan sebarang butiran lain secara rasmi, termasuk kemalangan jiwa kerana menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.
"Segala maklumat dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan syarikat itu, hari ini.
Terdahulu, sebuah pesawat dilaporkan terhempas di atas jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Bandar Elmina, dekat sini, petang ini dan sehingga kini, seramai 10 lelaki dipercayai warga tempatan disahkan maut dalam kejadian itu.
Susulan insiden itu, laluan keluar dan masuk ke Persimpangan Elmina di kedua-dua hala dari Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) ditutup buat sementara waktu.
-- BERNAMA
#pesawat terhempas #Elmina #punca kejadian #Jet Valet Sdn Bhd