IPOH: Syarikat penerbangan BATS Aviation Sdn Bhd mengesahkan menerima kod panggilan kecemasan ‘mayday’ daripada pesawat ringan yang terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini, pada jam 8.07 malam tadi.

Dalam satu kenyataan, BATS Aviation memaklumkan, enjin pesawat ringan Piper 28 itu dihidupkan pada jam 7.50 malam di atas Landasan 04 sebelum berlepas pada jam 8 malam.

“Dua jurulatih penerbangan BATS terlibat dalam nahas itu.

"Salah seorangnya maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” menurut kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, pihaknya telah memaklumkan kemalangan itu kepada pihak berkuasa seperti polis dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi tindakan lanjut.

Kenyataan sama turut memberitahu, punca kejadian sedang disiasat pihak berkuasa terlibat dan BATS Aviation akan memaklumkan perkembangan kepada pihak media dari semasa ke semasa.

Malam tadi, seorang jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, yang mengesahkan perkara itu dilaporkan berkata, mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Azman Hussin turut dilaporkan berkata, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.10 malam.