Pesawat terhempas waktu malam di KLIA uji kemampuan respons kecemasan

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 20, 2018 00:00 MYT
Latihan tersebut membabitkan sebuah pesawat penumpang HRM Airlines dari Dubai ke Kuala Lumpur yang membawa 226 penumpang.
Pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengadakan simulasi latihan kecemasan penuh membabitkan pesawat terhempas di waktu malam pada Jumaat.
Latihan tersebut membabitkan sebuah pesawat penumpang HRM Airlines dari Dubai ke Kuala Lumpur yang membawa 226 penumpang.
Bagaimanapun ketika hendak mendarat di landasan KLIA, pesawat terbabit telah melanggar sebuah dron yang menyebabkannya terhempas.
Unit kecemasan Lapangan Terbangan KLIA yang membabitkan 20 agensi kesemuanya dikerahkan ke lokasi terbabit dan berjaya mengawal keadaan dalam tempoh yang singkat.
Menurut Pengurus Besar Kanan MAHB, Mohammad Suhaimi Abdul Mubin yang turut menyaksikan latihan terbabit berkata, beliau sangat berpuas hati dengan kecekapan dan masa yang diambil oleh keseluruhan pasukan yang terbabit.
“Antara kriteria yang penting bagi (pengurusan) kemalangan dalam lapangan terbang ialah kesemua unit mesti sampai di tempat kejadian dalam tempoh 3 minit seperti yang ditetapkan. Latihan tadi menyaksikan kita sampai dalam tempoh 2 minit 51 saat sahaja," ujarnya.
Tambah Mohammad Suhaimi, latihan itu merupakan latihan wajib yang perlu dilakukan setiap dua tahun namun jelasnya bagi situasi 'tragedi' pada waktu malam itu adalah yang kali kedua yang dibuat pihak MAHB dalam tempoh 10 tahun.
“Kita akan mengadakan post-mortem selepas ini bagi mengkaji aspek yang mungkin kita boleh perbaiki lagi dari segi kecekapan dan sebagainya.
"Cuma, apa yang mungkin kita oleh lakukan adalah untuk melakukannya dalam masa nyata (real time) iaitu rutin yang kebiasaannya dilakukan oleh setiap orang yang terlibat.
"Contohnya, mungkin waktu itu mereka tidak berada dalam keadaan siap siaga dan sedang melakukan rutin harian atau tidak membabitkan waktu kerja mereka, jadi kita boleh lihat berapa cepat mereka akan ambil masa untuk ke lokasi kejadian," jelasnya.
Di samping itu, pihak pengurusan turut mengadakan latihan bagi mengendalikan sidang akhbar setiap 30 minit untuk memaklumkan situasi semasa kepada umum.
#keselamatan #KLIA #latihan kecemasan #MAHB #Mohammad Suhaimi Abdul Mubin #penerbangan #Simulasi