MALAYSIA

Peserta acara renang disengat ubur-ubur di Teluk Senangin

Bernama 02/08/2025 | 10:28 MYT
Bilangan mangsa yang terkena sengatan haiwan itu sebanyak 30 orang, majoritinya lelaki berusia 11 hingga 15 tahun manakala tiga mangsa lagi dirujuk ke Hospital Seri Manjung. - APM Perak via Sinar Harian
IPOH: Dua peserta acara renang terbuka cedera disengat ubur-ubur semasa menyertai program itu di Pantai Teluk Senangin, Lumut pagi tadi.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung hari ini, kira-kira 30 hingga 40 peserta program sama turut disengat.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara 9 hingga 10 tahun telah menyertai satu program anjuran komuniti renang.

"Siasatan awal pihak APM mendapati sejumlah peserta yang dianggarkan 30 hingga 40 orang telah terkena sengatan ubur-ubur.

"Kesemua telah diberi rawatan awal oleh petugas medik base oleh pihak APM, Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga perkhidmatan perubatan swasta, manakala dua peserta kanak-kanak yang cedera telah dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut," menurut APM.

Teluk Senangin Openwater Swim 2025 adalah acara renang terbuka sulung di negeri Perak yang diadakan di Pantai Teluk Senangin, Lumut hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia ,Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India A. Sivanesan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu yang melibatkan kira-kira 225 peserta.

"Bilangan mangsa yang terkena sengatan haiwan itu sebanyak 30 orang, majoritinya lelaki berusia 11 hingga 15 tahun manakala tiga mangsa lagi dirujuk ke Hospital Seri Manjung.

"Kebanyakan mereka mengalami kecederaan ringan dan tiada yang dimasukkan ke rawatan kecemasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA


#sengatan ubur-ubur #peserta renang #teluk senangin #APM #Teluk Senangin Openwater Swim 2025