Skip to main content

Malaysia

Peserta KKEC meninggal dunia alami sesak nafas ketika program Mara Lasak

71767606875_PDRMPolis.jpg
Siasatan awal mendapati penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) berusia 21 tahun itu kemudiannya telah dibawa ke Hospital Jengka, Maran sebelum tenat disebabkan penurunan oksigen dan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Advertisement

KUANTAN: Peserta program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) yang meninggal dunia dipercayai mengalami sesak nafas semasa menyertai acara Mara Lasak pada Jumaat lepas, sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Maran Superintenden Wong Kim Wai berkata siasatan awal mendapati penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) berusia 21 tahun itu kemudiannya telah dibawa ke Hospital Jengka, Maran sebelum tenat disebabkan penurunan oksigen dan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh. 

“Semasa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HoSHAS, penuntut terbabit telah meninggal dunia pada 2.08 petang semalam dan hasil bedah siasat, pending laboratory investigations,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata ketika kejadian 9.57 malam itu juga, empat masing-masing penuntut lelaki dan wanita turut mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Jengka.

“Siasatan mendapati terdapat dua lagi pelajar yang dirujuk ke Hospital HoSHAS dimasukkan ke wad ICU semalam, kerana penurunan oksigen dan sehingga kini berada dalam keadaan stabil. 

“Enam lagi pelajar yang mendapatkan rawatan di Hospital Jengka juga berada dalam keadaan stabil dan masih lagi dalam pemerhatian,” katanya.

Wong berkata UiTM Jengka telah menjadi tuan rumah bagi Duathlon KKEC, yang melibatkan 521 peserta dari seluruh cawangan UiTM di Malaysia kecuali Sarawak, yang telah berlangsung bermula 2 Sept dan dijangka tamat pada 8 Sept. 

Beliau berkata acara yang telah dianjurkan ialah larian sejauh lapan kilometer (km) , berbasikal sejauh 20km dan mara lasak sejauh 10km.

Sementara itu, Wong berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan, khususnya melalui media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan kekeliruan kepada keluarga dan masyarakat.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak menjalankan sebarang aktiviti lasak dalam keadaan cuaca yang panas ini, di samping keadaan jerubu. 

Sebelum ini, UiTM Cawangan Pahang dalam kenyataan menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga peserta program KKEC daripada UiTM Cawangan Negeri Sembilan Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal.

UiTM juga dilaporkan memaklumkan sebagai bukti komitmen universiti terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar, pihak penganjur telah menetapkan pertandingan melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada hari ini dibatalkan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement