JELEBU: Bukan sahaja dapat melihat kehidupan Orang Asli tetapi berpeluang juga menikmati keindahan alam semula jadi Hutan Simpan Kenaboi (Negeri Sembilan) yang menyimpan pelbagai khazanah warisan turun temurun.
Setiap detik perjalanan termasuk menjejak Taman Negeri Kenaboi, meskipun ada ketika begitu meletihkan, namun cukup indah dan mempesonakan.
Pengalaman dua hari satu malam berada di sana yang juga destinasi terakhir Program Kembara Media 2023 anjuran Jabatan Penerangan Kementerian Komunikasi dan Digital itu, turut disertai 21 pengamal media lain.
Kami semua menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Chennah, Jelebu dan perjalanan yang bermula pukul 2:30 petang itu amat mencabar, melalui jalan berliku dan berbukit-bukau untuk sampai ke puncak.
Mujur juga cuaca agak baik sepanjang perjalanan. Sesekali kedengaran ranting pokok yang patah dilanggar lori, berselang-seli dengan dengan hentakan kuat tayar lori apabila melalui jalan berbatu, membuatkan ada antara kami yang berpaut kepada tempat duduk, untuk mengelakkan daripada terjatuh.
ORANG ASLI KAMPUNG TOHOR
Dalam perjalanan ke Taman Negeri Kenaboi, kami dibawa singgah ke perkampungan Orang Asli Kampung Tohor.
Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung dari suku kaum Temuan yang turut memberikan kalung kepala yang dianyam daripada daun kelapa untuk setiap peserta.
Selain diraikan dengan tarian sewang iaitu amalan tradisi masyarakat di situ, kami turut berpeluang mencuba aktiviti menyumpit, melihat cara anyaman daun kelapa serta pameran pelbagai herba asli oleh penduduk kampung antaranya akar kacip fatimah dan akar racun.
Kami turut bertuah kerana dapat menyaksikan adat perkahwinan masyarakat Orang Asli Temuan dan pasangan mempelai yang diperkenalkan, baharu seminggu melangsungkan perkahwinan.
Pasangan mempelai bersanding di pelamin yang dihias dengan anyaman daun ketupat serta bunga-bungaan. Turut disediakan hantaran yang mengandungi cincin rotan, daun sirih serta daun rokok.
Tok Batin kemudian memakan daun sirih sebagai tanda pasangan sudah sah sebagai suami isteri dan pasangan pengantin pula akan meletak tangan di bahu antara satu sama lain dan menyuap sirih untuk dimakan.
Menurut adat masyarakat Orang Asli Temuan, ia simbolik sebagai tanda perlu ada kesepakatan dan persefahaman antara suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga.
HUTAN SIMPAN TERBESAR NEGERI SEMBILAN
Setelah hampir 45 minit di kampung Orang Asli, kami meneruskan perjalanan ke Taman Negeri Kenaboi.
Sebaik tiba di lokasi, kami diberikan taklimat oleh Penolong Pengarah Taman Negeri Kenaboi, Nur Ainina Khairunnisa Othman, sebelum dibawa ke tapak perkhemahan yang terletak berhadapan tebing sungai.
Rasa lelah seharian beransur hilang melihatkan suasana damai persekitaran khemah. Bagi pencinta alam semula jadi yang rindukan suasana hijau hutan sekeliling, udara segar disusuli sesekali bunyi unggas dan cengkerik, lokasi ini adalah antara yang wajib dikunjungi.
Menurut Nur Ainina Khairunnisa, lokasi berkenaan adalah satu-satunya taman negeri yang berada di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Negeri dan ia terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kenaboi di daerah Jelebu. Hutan simpan ini adalah yang terbesar di Negeri Sembilan dengan keluasan 9,045 hektar.
"Hutan ini memang dijaga rapi dan sebab itu pengunjung yang datang boleh merasai kenikmatan alam di hutan belantara ini. Sebelum dijenamakan menjadi taman negeri, ia dikenali sebagai Taman Alam Liar negeri yang diwartakan bagi melindungi hidupan liar di sini.
"Jabatan Perhutanan Negeri menerima peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan tempat ini dibangunkan dengan pelbagai kemudahan seperti dewan, surau, kantin serta dewan kuliah bagi keselesaan pengunjung," katanya.
Menurut beliau, untuk masuk ke dalam Taman Negeri Kenaboi yang jarak perjalanan kira-kira 48 kilometer dari pekan Jelebu, pengunjung digalakkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda berikutan laluan jalan yang mencabar.
"Keistimewaan di sini selain tapak perkhemahan yang menghadap anak sungai, pengunjung dapat merasai ketenangan dan melihat sendiri tarikan rama-rama kebangsaan atau Rajah Brooke," katanya.
"LORD OF THE RINGS MALAYSIA"
Program keesokan harinya membawa kejutan yang membuatkan kebanyakan kami berasa begitu teruja.
Kira-kira 45 minit dari tapak khemah kami bermalam, terdapat satu lokasi ekopelancongan yang cukup indah yang diberi jolokan 'Lord of The Rings Malaysia', terletak di Jeram Berungut.
Biarpun jalan untuk menuju ke lokasi menuntut kekuatan mental dan fizikal kerana perlu melalui cabaran merentasi anak sungai yang deras dan batu-batuan yang licin, namun segalanya amat berbaloi apabila kami akhirnya berjaya sampai ke destinasi.
Terbentang di hadapan kami panorama yang menakjubkan dan benarlah pengunjung akan berasa seolah-olah berada di tapak lokasi penggambaran filem fantasi epik itu yang dijalankan di New Zealand.
"Di sini pengunjung akan disajikan dengan pemandangan yang sangat cantik dengan kawasan kiri dan kanan ada batu berlumut hijau seperti dua dinding besar dengan sungai berada di tengah-tengah. Selain itu terdapat air terjun berdekatan yang mengalir deras.
"Namun untuk ke sini (Jeram Berungut) hanya mereka yang berumur 12 tahun ke atas sahaja dibenarkan. Juru pandu dari Jabatan Perhutanan disediakan untuk membawa pengunjung ke lokasi ini dan mereka akan memberi penerangan sepanjang perjalanan di persekitaran laluan," kata Nur Ainina Khairunnisa, dengan menambah peserta perlu memakai jaket, tali keselamatan serta kasut yang sesuai.
LATA DINDING, GUNUNG BESAR HANTU
Selain Jeram Berungut, Taman Negeri Kenaboi memiliki beberapa lagi tempat tarikan istimewa untuk pencinta alam seperti Lata Dinding dan Gunung Besar Hantu.
"Di Lata Dinding, hendak sampai ke sana memang agak penat namun apabila tiba, semuanya hilang (penat) apabila dapat melihat pemandangan menakjubkan air jernih mengalir seperti melekat di dinding. Gunung Besar Hantu pula ibarat syurga buat mereka yang gemar mendaki. Ia adalah gunung tertinggi di negeri ini.
"Biarpun trek laluannya agak mencabar namun apabila tiba di puncak pengunjung boleh melihat pemandangan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang dengan cuaca yang dingin," katanya.
Nur Ainina Khairunnisa menambah, Taman Negeri Kenaboi adalah hutan simpan tertutup dan pengunjung yang datang perlu memohon permit.
"Pengunjung boleh mendapatkan permit di Pejabat Taman Negeri Kenaboi, Pejabat Hutan Daerah Jelebu dan Pejabat Perhutanan Negeri atau boleh juga secara dalam talian dengan kadar bayaran adalah RM5 untuk warganegara dan bukan warganegara RM20. Sewa tapak khemah hanya RM5 semalam dan terhad kepada 12 tapak sahaja bagi lokasi perkhemahan di sebelah sungai " katanya.
Sementara itu berkongsi pengalaman, wartawan TVS Salasiah Safian menyifatkan pengalaman untuk sampai ke Jeram Berungut satu memori yang tidak akan dilupakan.
Meskipun perjalanan sangat mencabar, namun ia amat menyeronokkan kerana dapat menikmati keindahan alam sekitar serta lari dari kesibukan kota.
"Hutan dan air sungai bersih tanpa ada sebarang sampah sarap. Laluan nak ke Jeram Berungut pula, ketika perlu melalui anak sungai perlu berhati-hati kerana keadaan batu yang agak licin.
"Perjalanan tidaklah lama... apabila sampai ke Jeram Berungut pasti terpukau dengan kawasan sekitarnya yang dipenuhi kehijauan dan tidak hairan kenapa ia dikenali sebagai 'Lord of The Rings Malaysia'," katanya.
Pada penutup program, peserta turut dibawa ke perkampungan ikhtiar hidup atau 'Survival Village' yang diuruskan oleh JPN.
Selain didedahkan dengan cara memasak mengunakan bahan yang terdapat di dalam hutan serta demonstrasi menghidupkan api, peserta turut berpeluang menjamu selera dengan hidangan yang dimasak menggunakan buluh antaranya ubi kayu, mi segera dan ayam bakar.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Jul 05 2023
Pemandangan aliran sungai yang jernih dan masih terjaga di dalam kawasan Taman Negeri Kenaboi. - Foto BERNAMA
Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand
Malaysia wajib menang menentang Singapura pada 20 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Simposium Legenda Puteri Santubong dianjur tahun depan - Nancy
Datuk Seri Nancy Shukri berkata simposium itu bakal dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.
Inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak satu peluang luar biasa - TYT
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan ramai tenaga mahir, untuk mencapai visi menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Rakyat Jepun bantah keganasan seksual tentera Amerika Syarikat
Rakyat Jepun pada petang Jumaat berhimpun di luar Kementerian Luar di Tokyo untuk membantah keganasan seksual oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu.
Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia.
Ekonomi ASEAN mengalami pertumbuhan stabil pada 2024 di sebalik cabaran
Asia Tenggara muncul sebagai antara rantau dengan pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia.
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
BN dan UMNO tetap rakan setia politik dengan PH
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan kekal setia sebagai rakan politik bersama Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas beliau, BN dan juga UMNO juga tidak akan termakan dengan ajakan serta pujukan daripada mana-mana pihak untuk meninggalkan gabungan sedia ada.
Pesona 'Lord of the Rings Malaysia' di Taman Negeri Kenaboi
Setiap detik perjalanan termasuk menjejak Taman Negeri Kenaboi, meskipun ada ketika begitu meletihkan, namun cukup indah dan mempesonakan.