KUALA LUMPUR: Seorang lagi Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, menarik diri daripada mendengar kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat entiti lain terhadap 15 individu termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mereka (DP Naban dan Rosli) akan bertindak sebagai peguam dalam kes ini bersama dengan peguam daripada Tetuan Skrine," kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa kes berkenaan akan didengar di hadapan hakim lain.

Pada 7 Mei lepas, 1MDB dan anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited selaku plaintif memfailkan saman terhadap Najib dan bekas pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram selaku defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB iaitu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman serta bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir dan Radhi Mohamad selain bekas pegawai 1MDB iaitu Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Menerusi writ saman itu, kesemua plaintif antara lain mendakwa defendan telah melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan staturori, menyalahgunakan kuasa, berkonspirasi serta menyeleweng dana 1MDB.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan 1 Julai ini untuk pengurusan kes saman SRC International terhadap Najib dan enam lain atas dakwaan melakukan pecah amanah serta melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM4 bilion kepada SRC.

Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan SRC telah memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

-- BERNAMA