MALAYSIA

Pesuruhjaya Tinggi Singapura zahir penghargaan kepada malim Gunung Kinabalu

Bernama 24/07/2025 | 10:13 MYT
Gambar tahun 2015 menunjukkan sekumpulan malim gunung yang sedia menawarkan khidmat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di puncak Gunung Kinabalu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Sempena sedekad insiden gempa bumi dahsyat di Ranau pada 2015, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon menzahirkan penghargaan terhadap keberanian malim gunung Kinabalu, sambil menegaskan penghargaan berterusan Singapura atas keperwiraan mereka dalam menghadapi tragedi itu.

Semasa lawatan ke Kundasang pada Rabu, Menon bertemu dengan ahli Persatuan Malim Gunung Kinabalu dan menyampaikan 30 pasang kasut kepada para malim gunung. Sumbangan itu melambangkan penghargaan Singapura atas usaha berani mereka menyelamatkan pendaki semasa bencana itu.

Menon berkata gempa bumi yang melanda Sabah pada 2015 telah menjejaskan kehidupan banyak pihak, termasuk beberapa rakyat Singapura.

Gempa bumi bermagnitud 6.0 pada 5 Jun 2015, yang melanda berhampiran Gunung Kinabalu, telah meragut 18 nyawa, termasuk 10 rakyat Singapura, kebanyakannya pelajar dan guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong.

"Saya dan pasukan datang untuk memberi penghormatan kepada para malim gunung yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menyelamatkan para pendaki dan membantu mengeluarkan mayat mangsa yang terkorban.

Pada 2016, kami telah menganjurkan satu majlis penghargaan untuk mengucapkan terima kasih kepada para malim gunung dan mengekalkan hubungan dengan mereka. Sepuluh tahun selepas gempa bumi itu, kami terus menzahirkan penghargaan kami. Keberanian mereka tidak akan dilupakan," katanya dalam satu kenyataan.

Menon turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Sabah atas sokongan mereka semasa gempa bumi itu.

"Sebagai jiran, kita saling membantu, terutamanya dalam saat-saat sukar. Dalam menghadapi tragedi, kita telah mengetepikan kewarganegaraan kita dan menganggap satu sama lain sebagai insan terlebih dahulu," katanya.

Pada 5 Jun 2015, gempa bumi bermagnitud 5.9 melanda Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095 meter, mengorbankan 18 orang, termasuk empat malim gunung Malaysia dan tujuh pelajar sekolah rendah dari Singapura.

--BERNAMA



TAG: Vanu Gopala Menon, gempa bumi, Sabah, Persatuan Malim Gunung Kinabalu


#malim gunung #Pesuruhjaya Tinggi Singapura #kinabalu #gempa bumi #Ranau #penghargaan