Skip to main content

Malaysia

PETA, Pekemas dan MAYS lapor polis bimbang dana asing biayai parti Rafizi Ramli

Laporan polis NGO
Daing Mohamad Daing Makati (tengah), Redzwan Abu Samah (kiri) dan Sharizan Ramli membuat laporan polis di IPD Ampang. - Gambar NGO

KUALA LUMPUR: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pembela Tanah Air (PETA), Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS) membuat laporan polis terkait dakwaan aliran dana asing yang melibatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Jurucakap kepada tiga NGO itu, Pengerusi Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS), Daing Mohamad Daing Makati berkata, laporan tersebut dibuat susulan pengumuman Rafizi mengambil alih sebuah parti politik.

“Kita bimbang jika parti pimpinan Rafizi ini ditubuhkan dengan pembiayaan dana asing akan memberi ancaman yang tidak terduga dalam sistem politik negara kerana pastinya, kalau ada calon parti Rafizi yang menang dalam PRU16, ia akan terpengaruh dengan pemberi dana asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Daing Mohamad Daing Makati, turut hadir membuat laporan polis tersebut ialah Redzwan Abu Samah dari PETA dan Sharizan Ramli dari Pekemas yang membuat laporan polis di IPD Ampang.

Pada Jumaat, Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) membuat laporan polis berhubung video tular yang dikaitkan dengan Rafizi dengan dakwaan pengaliran dana asing melebihi RM1.5 juta daripada organisasi luar negara menerusi sebuah proksi tempatan.

Menurutnya, nama Rafizi didakwa sebagai individu yang didakwa menggunakan dana berkenaan.

“Dana tersebut didakwa digunakan untuk menggerakkan naratif radikal di media sosial dan demonstrasi jalanan atas nama demokrasi serta hak asasi manusia. Tindakan itu dipercayai mempunyai agenda tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad, Rafizi bersama sekutunya, bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia, sebuah parti politik kecil yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Mereka turut mengumumkan keluar parti, sekali gus mengosongkan kerusi Parlimen mereka berkuat kuasa Isnin.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, dan Nik Nazmi (Setiawangsa) membuat pengumuman itu pada majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi.

Must Watch Video