Petani disaran menerima dan mempraktikkan agenda yang dibawa kerajaan sekiranya mahu berjaya, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata purata pendapatan petani di negara ini sekitar RM1,500 ke RM2,000 sebulan dan ia masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu RM4,000 sebulan.

"Sukar untuk meningkatkan pendapatan petani kerana mereka sendiri enggan berubah untuk menjadi petani terbaik walaupun pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan.

"Petani mesti menerima wawasan dan agenda yang dibawa kerajaan jangan lagi ketinggalan, masih ditakuk lama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang," katanya kepada pemberita selepas bersiaran selama 30 minit di PerakFM menjelang pelancaran Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 di sini, pada Isnin.

Pelancaran GTN 2017 peringkat kebangsaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Kampung Degong, Langkap.

Tajuddin berkata untuk berjaya petani perlu produktif selain menerapkan sikap serta minda berdaya saing seperti petani di Taiwan, Thailand, Korea Selatan dan Jepun.

Mengenai GTN 2017, Tajuddin berkata ia merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk mentransformasi sektor pertanian serta memperkasa peranan petani terhadap sektor itu yang menjadi nadi kehidupan mereka.

Katanya dijangkakan seramai 20,000 pengunjung akan hadir pada program itu.

-- BERNAMA