NATIONAL
PETRA komited transformasi sektor air sebagai hab dinamik ekonomi negara

Fadillah (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia 2024 di Holiday Villa hari ini. -Bernama
JOHOR BAHRU: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk melakukan transformasi sektor air termasuk mengadaptasikan teknologi pintar dan pendigitalan bagi memudahkan penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan air negara.
Ringkasan AI
- PETRA komited untuk mengadaptasi teknologi pintar dan pendigitalan dalam sektor air untuk penyelidikan, pembangunan, inovasi, dan pengkomersialan.
- PETRA memperkasakan tadbir urus air di semua peringkat untuk menjadikan bekalan air Malaysia sebagai hab dinamik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
- Malaysia perlu memanfaatkan dasar berkecuali untuk menjalin kerjasama ekonomi dengan pelbagai negara demi manfaat rakyat Malaysia.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika sesi soal jawab eksklusif Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS bersama Timbalan Perdana Menteri, Fadillah berkata sektor perniagaan perlu memanfaatkan dasar berkecuali negara melibatkan geopolitik antarabangsa.
Beliau berkata sebagai sebuah negara perdagangan antarabangsa, Malaysia perlu mengambil peluang menjalinkan kerjasama ekonomi dengan pelbagai blok negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, negara Eropah dan lain-lain.
"Kita berkawan dengan semua pihak pada peringkat global, tetapi bukan soal politik sebaliknya perdagangan dan ekonomi. Sebagai sebuah negara kecil, kita perlu kenal pasti kelebihan setiap negara dan adakan kerjasama demi manfaat dan kebaikan rakyat Malaysia.
"Sebagai contoh Rusia, antara kekuatan mereka ialah sektor perubatan dan teknologi termasuk nuklear. Jadi, dengan hubungan baik kita dapat belajar bidang ini daripada mereka," katanya ketika menjawab soalan mengenai hasrat Malaysia menyertai BRICS walaupun mempunyai hubungan perdagangan erat dengan AS.
Pada Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS, selari dengan usaha meningkatkan kerjasama antarabangsa dan mewakili suara ASEAN dalam forum global.
Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyaksikan hampir 400 pegawai agensi itu dari seluruh negara terlibat membincangkan kesiapsiagaan menghadapi cabaran global.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 25 pemenang inovasi sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang inovatif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami