[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

PETRA Skuad Zon Sabah 2025 tinjau projek pembetungan RM134 juta di Putatan

Fadhil Selihin 15/07/2025 | 03:20 MYT
Fadillah (tengah) mengadakan lawatan ke Projek Skim Pembetungan Putatan Fasa 1, dalam siri lawatan kerja PETRA Skuad Zon Sabah 2025, di Putatan, 14 Julai 2025. - Foto PETRA
PUTATAN: Projek Skim Pembetungan Putatan Fasa 1 yang menelan kos RM134.4 juta menjadi antara lokasi tumpuan dalam siri lawatan kerja PETRA Skuad Zon Sabah 2025 semalam.

Rombongan diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Fadillah Yusof, bersama Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Menurut kenyataan PETRA, projek yang dimulakan sejak Disember 2020 itu kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 69.85 peratus setakat Jun 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 3 Mac 2026.

Ia bertujuan memenuhi keperluan sistem pembetungan di kawasan tadahan daerah Putatan melalui pembinaan loji rawatan kumbahan berkapasiti 50,000 penduduk setara (PE) serta pemasangan paip sepanjang 9.9 kilometer.

“Selain itu, projek ini turut melibatkan rasionalisasi tiga loji rawatan kumbahan bersaiz kecil serta pembinaan paip bridge sepanjang 60 meter,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa cabaran turut dihadapi termasuk kewujudan ketulan bongkah batu besar yang menyebabkan kelewatan kerja pemasangan paip.

"Sebagai langkah penyelesaian, pihak kontraktor telah menambah satu lagi pasukan ‘pipe jacking’ pada Jun lalu menjadikan tiga pasukan beroperasi serentak di tapak projek," ujarnya lagi

Projek ini dijangka memberi impak positif kepada kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar, selain menyumbang kepada pembangunan infrastruktur asas yang mampan di daerah Putatan.

PETRA Skuad Zon Sabah 2025 merupakan inisiatif kementerian bagi meninjau sendiri isu berkaitan tenaga dan air di peringkat akar umbi, di samping mendapatkan maklum balas langsung daripada lapangan.






#PETRA Skuad Zon Sabah 2025 #tenaga #Fadillah Yusof #Petra #Sabah