MALAYSIA

Petron JDK Pulau Pinang raih Anugerah KKP Negara 2024

Astro Awani 02/11/2025 | 00:20 MYT
Abdul Rahman Mohamad (dua dari kiri) meyampaikan Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara 2024 bagi kategori Perdagangan Borong dan Runcit kepada Naqib Nor Said (tengah), baru-baru ini.
SEPANG: Stesen Petron Jalan Dato' Keramat (JDK), Pulau Pinang mencatat pencapaian membanggakan apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara 2024 bagi kategori Perdagangan Borong dan Runcit.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam satu majlis penuh gemilang yang berlangsung baru-baru ini.

Majlis anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) itu merupakan platform tertinggi dalam mengiktiraf organisasi dan individu yang menunjukkan komitmen cemerlang terhadap amalan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Lebih membanggakan, ini merupakan kali pertama dalam sejarah rangkaian stesen minyak Petron Malaysia menerima pengiktirafan tertinggi tersebut.

Pengusaha stesen Petron Jalan Dato' Keramat, Naqib Nor Said menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian luar biasa hasil dedikasi seluruh warga kerja.

“Sejak anugerah ini diperkenalkan pada 2010, ini kali pertama kami berjaya memenanginya. Ia adalah pengiktirafan tertinggi buat kami di Petron Jalan Dato' Keramat,” katanya.

“Kemenangan ini melambangkan komitmen kami dalam menjadikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai budaya hidup. Ia bukan sekadar pilihan, tetapi tanggungjawab bersama,” tambah beliau.

Selain Petron Jalan Dato' Keramat, dua lagi stesen Petron turut mara ke peringkat akhir bagi kategori sama — Petron Jalan Johor, Pulau Pinang dan Petron Jalan Segambut, Kuala Lumpur — sekali gus mencerminkan tahap kesedaran tinggi Petron terhadap kepentingan keselamatan di tempat kerja.

Majlis Anugerah Cemerlang KKP Kebangsaan 2024 merangkumi 32 kategori pengiktirafan melibatkan pelbagai sektor industri di seluruh negara, sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan pekerja dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.



#Petron Jalan Dato Keramat #Anugerah KKP Negara 2024 #perdagangan borong dan runcit #Naqib Nor Said