KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan usul supaya isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Menerusi surat yang diutuskan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, Anwar berkata usul itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini merundingkan laporan bahawa Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan dengan harga hampir RM10 bilion berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2021," katanya dalam surat tersebut.

Menurut Anwar, isu tersebut adalah perkara tertentu kerana penjualan aset gas di Azerbaijan bernilai hampir RM10 bilion itu dan juga pembayaran dividen kepada kerajaan sebanyak RM25 bilion bagi tahun 2021 adalah berbahaya dan menjejaskan masa depan Petronas.

"Ini perkara berkehendak disegerakan kerana Petronas mengalami defisit berikutan pembayaran dividen berlebihan sejak 2018 sehingga kini yang memaksa Petronas menjual aset atau meminjam lebih banyak dana luar negara bagi menampung aliran tunai," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata perkara berkenaan berkait kepentingan orang ramai kerana Petronas adalah institusi penting ekonomi negara dan sewajarnya diperkukuhkan kekuatannya dan tidak dilemahkan penarafan syarikat, kemampuannya untuk melabur bagi menjana keuntungan masa depan yang mampu membayar dividen yang munasabah kepada kerajaan demi kepentingan rakyat dan negara..

Syarikat minyak dan gas negara, Petronas sebelum ini mengesahkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan syarikat LUKOIL untuk menjual kepentingan perniagaan miliknya di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM9.41 billion (AS$2.25 bilion).

Kepentingan Petronas di Azerbaijan itu turut meliputi keseluruhan 15.5 peratus pegangan syarikat minyak dan gas negara dalam projek gas asli di Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia.

 
Sumber Facebook anwaribrahimofficial