MALAYSIA

PETRONAS tidak langgar perjanjian, Mahkamah Tinggi khilaf beri injuksi

Bernama 24/09/2025 | 22:20 MYT
Mahkamah Rayuan putus PETRONAS tak langgar kontrak gas; injunksi Mahkamah Tinggi dibatalkan, Shell MDS perlu bayar tunggakan. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) tidak melanggar perjanjian bekalan gas dengan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd dan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memberikan injunksi yang memaksa syarikat itu untuk meneruskan pembekalan gas.

Hakim Datuk Wong Kian Kheong dalam penghakimannya berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan Seksyen 53 Akta Relief Spesifik 1950, yang menghendaki Shell MDS membuktikan bahawa PETRONAS telah melanggar perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua syarikat terbabit.

"Dalam kes ini, perjanjian antara PETRONAS dan Shell MDS tidak dilanggar. Sebaliknya, PETRONAS telah mematuhi perjanjian berkenaan sepanjang masa yang berkaitan," katanya.

Wong berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Arziah Apandi hanya boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberikan injunksi mandatori interlokutori (bekalan gas asli) sekiranya Shell MDS dapat membuktikan kes yang "luar biasa kukuh dan jelas" terhadap Petronas.

"Kami tidak berpuas hati bahawa responden pertama (Shell MDS) telah memenuhi prasyarat ketat bagi kes "luar biasa kukuh dan jelas" terhadap perayu (PETRONAS) yang boleh membenarkan Mahkamah Tinggi memberikan injunksi," katanya.

Hakim Mahkamah Rayuan itu juga berkata pemberian injunksi untuk terus membekalkan gas dalam kes terbabit telah membebankan kewangan PETRONAS dan terus memberi kesan negatif terhadap kewangan syarikat itu.

"Hal ini kerana perayu telah dan terus dipaksa oleh injunksi mandatori interlokutori untuk membekalkan gas asli tanpa menerima sebarang bayaran.

"Perlu ditekankan bahawa perayu telah dan terus terhalang daripada menerima bayaran yang signifikan kira-kira RM800 juta sebulan sejak injunksi mandatori sementara Mahkamah Tinggi diberikan pada 19 Dis tahun lepas," katanya.

Wong berkata tiada pertikaian bahawa injunksi mandatori interlokutori untuk membekalkan gas asli dan injunksi mandatori interlokutori untuk menghentikan hasil Jaminan Bank telah mengubah status quo dengan memberi kesan buruk terhadap kewangan PETRONAS.

Pada Isnin, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azimah Omar, Datuk Ismail Brahim dan Wong membenarkan rayuan PETRONAS untuk mengetepikan injunksi sementara yang diperoleh Shell MDS, yang membenarkan syarikat itu (Shell MDS) menghentikan bayaran bulanan bagi bekalan gas yang diberikan oleh PETRONAS kepada Shell MDS di fasiliti Bintulu, Sarawak.

Mahkamah turut membatalkan injunksi yang menghendaki PETRONAS untuk terus membekalkan gas kepada Shell MDS sepanjang tempoh tersebut, dan yang membenarkan Jaminan Bank ditangguh.

Panel hakim diketuai Azimah memerintahkan Shell MDS untuk membayar PETRONAS jumlah tertunggak dari Ogos 2024 hingga 5 Okt lepas, dengan bayaran perlu dibuat sebelum 6 Okt.

Shell MDS tidak membuat pembayaran akibat kebimbangan menerima dua invois iaitu satu daripada Petronas dan satu lagi daripada Petroleum Sarawak (PETROS), yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan perlu membuat pembayaran berganda, sementara pertikaian bidang kuasa antara Petronas dan PETROS sedang diselesaikan.

Injunksi diberikan oleh Mahkamah Tinggi adalah berdasarkan penglibatan Shell MDS dalam dua perjanjian bekalan gas yang berasingan iaitu satu dengan PETRONAS (ditandatangani pada 17 Julai 2020) dan satu lagi dengan PETROS (ditandatangani pada 16 Ogos 2024).

-- BERNAMA









#Petronas #shell #PTTROS #Mahkamah Tinggi