NATIONAL

Petronas-Petros: Muktamad! Petronas teruskan amanah tertakluk di bawah PDA 1974

Seth Akmal 21/05/2025 | 08:24 MYT
Polemik antara Petronas dan Petros diselesaikan melalui deklarasi bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, yang mengiktiraf peranan kedua-dua entiti dalam industri minyak dan gas. -Astro AWANI
PUTRAJAYA: Polemik melibatkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) selesai apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memeterai deklarasi bersama, di sini, hari ini.


Ringkasan AI
  • Polemik antara Petronas dan Petros diselesaikan melalui deklarasi bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, yang mengiktiraf peranan kedua-dua syarikat dalam industri minyak dan gas negara.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Petronas akan terus memainkan peranannya, manakala Petros diiktiraf berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak, dengan kerjasama ini dijalankan mengikut lunas undang-undang Persekutuan dan Negeri.
  • Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg, menyatakan kerjasama ini penting untuk kepentingan bersama dan pembangunan Sarawak, dengan deklarasi ini menandakan penyelesaian rasmi terhadap tuntutan hak kawalan minyak dan gas oleh Petros sejak 2018.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peranan Petronas tidak tergugat dan Petros akan diiktiraf mengambil kira perkembangan baharu dan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak.

“Jadi persefahaman kita lakukan ini adalah memastikan Petronas diteruskan dan peranan Petros diiktiraf dan kedua-duanya bekerja berganding bahu mengangkat martabat negara melalui industri minyak dan gas,” katanya.

Sidang media yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri itu turut disertai Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan susulan pergeseran di antara kedua-dua pihak dapat diselesaikan dengan baik.

“Alhamdulillah dapat selesaikan masalah yang timbul dan hari ini adalah deklarasi bersama yang membawa persamaan dan pendekatan bersama di antara Kerajaan Sarawak Petronas, Petros,” kata beliau.

Abang Johari juga menyatakan bahawa kerjasama tersebut diusahakan melalui lunas dan peruntukan undang-undang di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Kerjasama kegiatan minyak dan gas untuk kepentingan negara dan mengikut lunas peruntukan yang ada di antara undang-undang Sarawak dan undang-undang Persekutuan.

"Kita akan menghormati peruntukan Negeri dan Malaysia, dan mereka (Petronas-Petros) akan bersama untuk kepentingan negara dan juga Sarawak,” tambahnya.

Anwar juga menyatakan secara prinsip isu tersebut telah lama disepakati seperti mana rundingannya bersama Abang Johari sebelum ini iaitu untuk menerima kenyataan yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak (DGO) 2016.

Tambah beliau, suasana terkini menuntut pihak berkenaan menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang lebih matang dan mempunyai keupayaan termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang berpotensi besar.

Majlis deklarasi bersama itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Utiliti dengan pengkhususan terhadap hal ehwal Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petros, Datuk Ibrahim Baki; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Perselisihan timbul apabila Petros yang ditubuhkan pada 2018 mula menuntut semula hak kawalan terhadap minyak dan gas dalam negeri.

Insiden ini membawa kepada beberapa siri rundingan di antara kedua-dua pihak melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam usaha mencapai titik persefahaman.











#Petronas #Petros #kerajaan Persekutuan #Sarawak #deklarasi bersama