PetroSaudi bidas dakwaan "berniat jahat" kaitkannya dengan dana 1MDB

Astro Awani
Mac 1, 2015 10:53 MYT
PetroSaudi International adalah sebuah syarikat pengeluaran minyak milik persendirian yang diasaskan pada tahun 2005. - Gambar fail
PetroSaudi International hari ini menafikan sebuah laporan yang mendakwa kesemua wang yang diperuntukkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan kepada syarikat itu, lapor laman portal The Rakyat Post.
PetroSaudi turut membidas laporan itu sebagai “berniat jahat” dan mengandungi tuduhan-tuduhan liar. Ia juga menegaskan telah membayar sepenuhnya kepada 1MDB.
“Kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai sebarang ikatan kewangan atau undang-undang,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh portal itu.
Susulan itu, PetroSaudi kini dilaporkan sedang mendapat khidmat perundangan bagi memastikan langkah selanjutnya yang perlu diambil.
Meskipun tidak merujuk secara khusus, kenyataan dipercayai dikeluarkan merujuk kepada artikel yang disiarkan oleh Sarawak Report yang berjudul “Heist of the Century — How Jho Low Used PetroSaudi As ‘A Front’ To Siphon Billions Out Of 1MDB!” semalam.
Laporan itu antara lain mendakwa usahasama 1MDB dan PetroSaudi digerakkan oleh jutawan Jho Low.
Kenyataan PetroSaudi menjelaskan, bukti berbentuk email dan transaksi yang mendakwa syarikat milik Jho Low menerima wang dari 1MDB adalah palsu.
PetroSaudi International adalah sebuah syarikat eksplorasi minyak yang ditubuhkan pada 2005.
Ia dilapor dimiliki ahli perniagaan Saudi, Tarek Obaid dan Putera Turki Bin Abdullah Al Saud, anak kepada bekas Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #PetroSaudi International #Raja Arab Saudi Raja Abdullah