Petugas HSA dibantu tentera gerakkan operasi pembersihan

Bernama
Oktober 26, 2016 03:40 MYT
Anggota ATM turut terlibat dalam operasi pembersihan di beberapa wad pasca kebakaran semalam di Hospital Sultanah Aminah Johor - Twitter Asyraf Hasnan
Petugas dan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi ini sibuk dengan aktiviti pembersihan wad-wad yang terjejas susulan kebakaran yang berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu yang meragut enam nyawa semalam.
Operasi pembersihan wad dan kawasan sekitar itu turut dibantu lebih 30 anggota tentera Briged Ketujuh Infantri Malaysia dari Kem Tentera Tebrau yang tiba seawal 8 pagi.
Di perkarangan bangunan induk HSA, satu taklimat diberi oleh pihak hospital berhubung kerja pembersihan yang perlu dilakukan di wad-wad terjejas dalam kebakaran itu termasuk akibat asap tebal dan pancuran air.
Kebakaran di wad ICU di tingkat dua bangunan lima tingkat itu mengorbankan nyawa enam pesakit yang dirawat di ICU berkenaan, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru A. Rahim Nin turut melawat HSA dan dilihat mendengar penerangan daripada pegawai hospital mengenai insiden itu.
Di Hospital Sultan Ismail (HSI) pula, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris berangkat melawat pesakit-pesakit HSA yang dipindahkan ke HSI semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat malam tadi berkata 51 pesakit termasuk tiga kakitangan HSA yang cedera susulan kebakaran itu kini ditempatkan di HSI.
Operasi memadamkan api dan menyelamatkan mangsa melibatkan lebih 160 anggota bomba tamat pada 1.30 tengah hari semalam. -- BERNAMA
#A. Rahim Nin #Hospital Sultanah Aminah #operasi pembersihan #unit rawatan rapi