Petugas kesihatan kerja minimum 14 jam sehari

Sinar Harian
Februari 7, 2023 16:06 MYT
Tangkap layar akaun Twitter @FarraDiana yang berkongsi luahan rasa beliau sebagai petugas kesihatan yang bekerja selama 14 jam minimum sehari.
SHAH ALAM: Kakitangan kesihatan terutama doktor dan jururawat yang bertugas di hospital kerajaan didakwa bekerja sehingga 14 jam sehari.
Perkara tersebut didedahkan seorang pengguna akaun Twitter, @FarraDiana yang juga seorang doktor.
“Kami bertugas minimum 14 jam sehari dengan bayaran gaji minimum, malah kami tidak sempat untuk makan, solat pun ‘lari-lari’. Kadang kala terlepas waktu solat.
“Dengan jumlah tenaga kerja yang minimum, kami perlu merawat pesakit yang ramai. Jika anda penat menunggu, kami penat berganda.
”Jangan sesekali marah doktor dan jururawat atau mana-mana petugas kesihatan. Kami sangat penat. Kalau nak marah, lepaskan kemarahan anda kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia). Gesa untuk tambah lebih ramai tenaga kerja, cari penyelesaian untuk menambah lebih ramai kakitangan,” katanya menerusi hantaran di laman Twitter pada Selasa.
Sebelum ini, tular di laman sosial sebuah video memaparkan kekecohan pergaduhan mulut dipercayai antara pesakit dengan kakitangan di sebuah hospital kerajaan di Serdang, Selangor.
Menerusi video yang dimuat naik pemilik akaun TikTok @Bisma Ali, kejadian itu dikatakan berpunca daripada masa menunggu giliran yang terlalu lama untuk berjumpa dan mendapatkan rawatan doktor.
Dikatakan pesakit terbabit terpaksa menunggu dari jam 8 pagi hingga 7 malam untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dilapor telah tampil memohon maaf atas kejadian terbabit dan menurutnya, pemeriksaan untuk pesakit jantung harus dilakukan dengan lebih teliti sekali gus menyebabkan masa rawatan lebih panjang bagi setiap seorang pesakit.
Beliau turut berharap agar orang ramai ada perasaan empati terhadap petugas kesihatan yang juga bekerja keras tanpa henti untuk membantu dan memberikan perkhidmatan terbaik.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
#petugas kesihatan #doktor kerja 14 jam #Kementerian Kesihatan #Hospital Serdang
;