KUALA LUMPUR: Petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) dilarang membuat sebarang pernyataan awam berhubung dasar dan keputusan kerajaan tanpa kebenaran.

KKM dalam satu kenyataan media hari ini merujuk kepada ciapan di media sosial mengenai proses pemberian vaksin yang didakwa ditulis oleh petugas kesihatan KKM.

“Selaras dengan prinsip perkhidmatan dan peraturan berkaitan tatatertib, setiap penjawat awam ditegah untuk membuat pernyataan yang secara langsung atau tidak langsung menyentuh pelaksanaan apa-apa dasar awam, program dan keputusan Kerajaan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran.

“Pernyataan yang tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej pegawai sebagai penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam masyarakat serta menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dan kerajaan,” menurut Ketua Setiausaha KKM dalam kenyataan tersebut.

KKM mendakwa bahawa arahan tersebut bukan bertujuan menghalang kebebasan bersuara, tetapi bagi memastikan pegawai-pegawai menggunakan saluran aduan yang betul serta “menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam dan kerajaan”.

Sehubungan itu, hukuman tatatertib akan dikenakan terhadap salah laku dalam penggunaan media sosial serta sebarang pernyataan awam yang didapati tidak wajar.

Sebelum ini, seorang pakar perubatan KKM dalam satu ciapan menerusi Twitter memuat naik satu mesej aduan tentang tindakan memotong barisan untuk mendapat vaksin COVID-19 di Kelantan, yang diterima daripada seorang individu yang tidak ingin dinamakan.

Ciapan tersebut mendapat perhatian Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin yang menyatakan komitmennya untuk menyiasat dakwaan pemotongan barisan itu.

Amaran daripada KKM ini dikeluarkan sehari selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan tentang lima pindaan peruntukan sedia ada dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan lima peruntukan baharu dalam Ordinan Darurat 2021, berkuat kuasa mulai 11 Mac depan.

Antara peruntukan baharu termasuk Seksyen 31 yang memberi kerajaan kuasa untuk mengenakan penalti bawah Akta 342 bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan di dalamnya.

Sebarang perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan itu menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.